Keadaan Pelabuhan Johor yang berjerebu tebal. Gambar dirakam dari Menara Aqabah.
Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Keadaan berjerebu dikesan di beberapa kawasan di negeri ini mulai kelmarin dan mencatatkan penurunan status kualiti udara.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Jaafar berkata, jerebu berkenaan berpunca daripada kebakaran tanah dan hutan di Sumatera Tengah, Indonesia yang dibawa angin Monsun Barat Daya.

Beliau berkata, pada jam 8 pagi semalam bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) paling tinggi dicatatkan di Pasir Gudang pada tahap tidak sihat iaitu 104.

Menurutnya, sebanyak 35 kawasan mencatatkan bacaan pada tahap baik selain 12 kawasan pada tahap sederhana.

“Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura pada 26 Ogos 2016, bilangan titik panas yang dikesan di Sumatera, Indonesia adalah sebanyak 11, manakala sebanyak tiga dikesan di Kalimantan.

“Dalam negara pula, hanya satu titik panas dikesan iaitu bahagian Sibu, Sarawak dan lokasi titik panas dalam negara sedang disiasat dan diambil tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya.

“Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan oleh pihak ASMC pada 26 Ogos 2016 menunjukkan terdapat lingkaran asap jerebu sederhana dari kawasan kebakaran tanah dan hutan di kawasan tengah Sumatera menyelubungi bahagian selatan Johor dan Singapura,” katanya dalam kenyataan akhbar, semalam.

Wan Junaidi berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) masih memantau rapi status kualiti udara di seluruh negara berikutan kejadian jerebu masih tidak menentu.

Menurutnya, titik panas di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia yang masih aktif boleh menyebabkan pencemaran jerebu merentas sempadan berterusan ke Pantai Barat Semenanjung Malaysia dan ke negeri Sarawak.

“Mekanisme tindak balas semasa berlakunya jerebu adalah mengikut Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan. Pelan ini menggariskan tindakan yang perlu dilaksanakan agensi kerajaan yang terbabit bagi menghadapi episod jerebu mengikut peringkat dan tahap berjaga-jaga dengan berpandukan bacaan IPU mengikut tempoh masa tertentu.

“Penutupan sekolah akan diselaraskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia apabila bacaan IPU melebihi 200 dan nasihat penutupan pejabat dan lain-lain tempat bekerja termasuk kilang akan dibuat apabila bacaan IPU mencecah paras melebihi 500 yang dikategorikan sebagai keadaan darurat bencana jerebu,” katanya.

Wan Junaidi berkata, bagi mengelakkan keadaan bertambah buruk, semua pihak diingatkan tidak melakukan pembakaran terbuka.

“Orang ramai juga diminta bekerjasama untuk memadam kebakaran kecil dan juga melaporkan kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2016 @ 5:09 AM