LELAKI yang dikehendaki polis bersabit kes kecurian motosikal.
Mohd Fadly Samsudin


Kajang: Polis menumpaskan tiga kumpulan curi motosikal yang aktif melakukan jenayah itu di daerah ini.

Suspek terdiri daripada 14 lelaki berusia antara 13 hingga 25 tahun dikatakan menyasarkan motosikal yang tidak menggunakan kunci tambahan di kawasan pangsapuri dan kondominium.

Motosikal yang dilarikan itu untuk kegunaan sendiri atau dileraikan untuk dijual.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Othman Nanyan berkata, semua suspek diberkas dalam Op Lejang dijalankan pada 18 Ogos lalu.

“Dalam operasi itu polis merampas enam motosikal dan satu rangka motosikal yang dileraikan.

“Kami yakin dengan penahanan 14 lelaki ini, akan ada lagi tangkapan dan rampasan dilakukan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini, kelmarin.

Beliau berkata, untuk rekod IPD Kajang menerima laporan kes kecurian motosikal sebanyak 823 sejak awal tahun ini.

“Operasi ini mengesan semula motosikal dicuri di luar kawasan Kajang. Sehubungan itu, pihak kami mengharapkan daerah sempadan turut dapat membantu usaha mengesan motosikal curi.

“Kes kecurian motosikal yang meningkat ini turut memberi kesan terhadap indeks jenayah serta sistem pengurusan jenayah,” katanya.

Menurutnya, kes kecurian motosikal di Kajang menyumbang angka yang agak tinggi indeks jenayah keseluruhan sejak awal tahun ini.

“Daripada 8,723 jumlah indeks jenayah, 823 kes atau 29 peratusnya adalah kes kecurian motosikal,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, pihaknya mengesan dua individu dikehendaki dipercayai terbabit dalam kegiatan curi motosikal di Kajang.

“Kedua-dua lelaki terbabit masing-masing berusia 19 dan 25 tahun. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi mana-mana balai polis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2016 @ 5:23 AM