ANGGOTA penguat kuasa MPKB-BRI dengan kerjasama polis negeri merampas perkakas shisha dalam operasi di sebuah kedai makan di Padang Tembak Pengkalan Chepa, Kota Bharu.
Mohamad Zulhairie Manzaidi

Kota Bharu: Kekecohan berlaku ketika 14 anggota bahagian penguatkuasaan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menyerbu sebuah kafe siber di Pasir Tumboh, di sini, malam kelmarin.

Kenderaan dinaiki penguat kuasa terbabit dihalang tiga kereta dipercayai kepunyaan pemilik kafe itu dan konconya yang turut menghalang 30 set komputer serta perkakas elektronik daripada dirampas.

Beberapa individu juga menjerit dan mengganggu petugas melakukan penguatkuasaan selepas premis itu didapati melanggar Syarat-Syarat Kafe Siber MPKB 1999 (Pindaan 2004).

Ketua Operasi itu, Mohd Halimi Md Salleh berkata, pihaknya sudah lama memantau aktiviti premis berkenaan dan menerima aduan mereka membenarkan individu di bawah umur 18 tahun memasuki premis selain beroperasi lebih masa.

“Serbuan dilakukan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia pada jam 2.30 pagi, namun tidak mendapat kerjasama baik daripada mereka.

“Sebaik sahaja set komputer terbabit dimuatkan ke dalam lori milik MPKB-BRI untuk dibawa ke pejabat, tiba-tiba terdapat tiga kereta menghalang laluan kami.

“Kekecohan berlaku apabila beberapa lelaki menjerit supaya kami tidak merampas set komputer berkenaan dan dengan bantuan polis, keadaan itu berjaya dikawal,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, operasi bersepadu itu bermula dari jam 9 malam hingga 4 pagi turut menyasarkan premis kedai makan yang menyediakan shisha.

Katanya, tujuh premis diserbu di sekitar bandar ini dan tindakan dikenakan ke atas tiga kedai menawarkan shisha selain menyita kerusi dan meja kerana tidak mempunyai lesen perniagaan.

“Kita juga menyerbu sebuah premis yang menjual arak di Jalan Tok Guru dan merampas barangan berkenaan bersama set karaoke.

“Semua pemilik dikenakan tindakan mengikut Undang-Undang Kecil Tred, Perniagaan dan Perindustrian MPKB 1985 yang boleh dikenakan kompaun RM500 bagi setiap kesalahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2016 @ 5:25 AM