Nawawi (tengah) bersama Azizullah (enam dari kanan) dan kakitangan KTM menunjukkan logo terbaru KTM Distribution Sdn Bhd sambil mengibarkan Jalur Gemilang di Stesen Kuala Lumpur.
Nawawi (tengah) bersama Azizullah (enam dari kanan) dan kakitangan KTM menunjukkan logo terbaru KTM Distribution Sdn Bhd sambil mengibarkan Jalur Gemilang di Stesen Kuala Lumpur.
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Penduduk yang menetap di Pahang bakal mempunyai pilihan pengangkutan baru sekiranya cadangan pembinaan landasan kereta api Pantai Timur dari Kuala Lumpur ke Kuantan mendapat persetujuan kerajaan.

Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Datuk Nawawi Ahmad berkata, projek berkenaan bakal memberi impak positif termasuk melonjakkan ekonomi kawasan berhampiran seperti Bentong, Mentakab serta Pelabuhan Kuantan.

“Saya difahamkan ia dalam peringkat kajian antara Kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat terutama membabitkan kos pembinaan.

“Saya berharap semoga kerajaan dapat memberikan keputusan positif dan membina landasan ini secepat mungkin kerana sistem pengangkutan di kawasan itu sepatutnya sudah ada pada 2002,” katanya selepas Pelancaran Kempen Semarak Hari Kebangsaan 2016 serta Logo Baharu KTM Distribution Sdn Bhd (KTMD) di Stesen Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Menurut Nawawi, beliau juga berharap kerajaan dapat menambah baik landasan sedia ada di pantai timur bermula dari Tumpat, Kelantan ke Kuala Lumpur kepada landasan yang digunakan di negara maju.

“Cadangan kita perjalanan Tumpat-Kuantan-Kuala Lumpur mempunyai kelajuan lebih baik daripada apa yang kita ada sekarang iaitu landasan ‘meter gauge’ yang hanya enam peratus digunakan di seluruh dunia dengan kelajuan maksimum 160 km/jam saja.

“Tetapi jika kita ada landasan ‘broad gauge’ (1.435 meter) seperti negara lain, kelajuan kita boleh sampai ke 350 km/jam.

“Sudah tentu orang Kuala Lumpur boleh duduk di Kuantan dan Tumpat dan orang pantai timur boleh berulang-alik kerja di Kuala Lumpur,” katanya.

Sementara itu, mengulas perkembangan terkini pembinaan landasan berkembar elektrik Gemas-Johor Bahru, projek berkenaan akan memendekkan masa perjalanan pengguna dari ibu negara ke selatan dari empat jam kepada dua jam 20 minit.

“Projek ini berjalan di peringkat pelaksanaan awal dan kita berharap ia siap menjelang 2019,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2016 @ 9:14 AM