AKSESORI telefon pintar jenama dipercayai tiruan yang dirampas.
Fardy Bungga

Seri Kembangan: Sebuah premis menjual alat ganti dan aksesori telefon jenama terkenal cetak rompak di pusat beli-belah terkemuka, di sini, dikesan kerap mengadakan promosi ‘harga runtuh’ untuk menarik perhatian pengguna.

Pelanggan bagaimanapun tertipu apabila alat ganti dan aksesori tiruan dibeli rosak dalam tempoh singkat.

Kegiatan penipuan dua premis terletak di pusat beli-belah South City Plaza, Taman Serdang Perdana, di sini, dibongkar hasil serbuan anggota bahagian penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor jam 1 petang kelmarin.

Siasatan mendapati premis berkenaan didapati turut menjadi pembekal aksesori telefon bimbit tiruan kepada peniaga kecil-kecilan.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Selangor Abdul Rosik Yakub berkata, serbuan dilakukan berdasarkan aduan awam dan risikan lebih seminggu lalu.

“Antara produk tiruan yang dirampas adalah power bank, alat pendengar, pengecas, bateri dan pelbagai alat ganti telefon pintar.

“Semua produk yang dirampas dianggarkan bernilai RM30,885 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, pihaknya turut mengambil keterangan daripada pemilik premis berusia 40-an dan pekerja premis berkenaan untuk mengenal pasti pembekal utama produk tiruan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2016 @ 9:38 AM