AHLI panel penemu duga menjalankan temu duga ke atas jemaah yang layak menyertai program Jemaah Haji Warga Emas.


Makkah: Bagi menangani jemaah haji warga emas tersasar ketika berada di Arafah, Mudzalifah dan Mina serta membantu memudahkan ibadat jemaah tanpa waris di Tanah Suci, Lembaga Tabung Haji (TH) semalam menjalankan sesi temu duga bagi memilih jemaah mengikuti program Jemaah Haji Warga Emas (JHWE).

Mereka yang berusia 70 tahun ke atas tidak ditemani waris mengalami masalah lemah daya ingatan, tetapi memiliki kudrat melakukan ibadat dipilih serta dibantu seorang pengiring setiap seorang menjelang Masya’ir iaitu bermula hari Wukuf sehingga selesai ibadat melontar.

Pengarah Operasi Bimbingan Haji Tengku Aziz Raja Abdullah berkata, mereka yang terpilih dibantu petugas khas TH untuk menjaga mereka sewaktu dalam perjalanan dari segi menyempurnakan ibadat, menguruskan diri ketika bermalam dan membantu ketika ibadat melontar di jamrah.

Katanya, sesi saringan pertama, semalam membabitkan 15 calon yang dipilih sebagai JHWE manakala sesi kedua akan diadakan sebelum 4 September depan.

“Khidmat ini ditawarkan TH memandangkan sebelum ini terdapat masalah jemaah tersasar terutama ketika berada di Arafah dan Mina,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2016 @ 8:46 AM