ANGGOTA penguat kuasa menunjukkan nombor badan palsu pada lori pasir.
ANTARA lori yang ditahan pihak berkuasa JPJ selepas didapati menggunakan nombor pendaftaran dan cukai jalan palsu.
Kalidevi Mogan Kumarappa


Georgetown: Pasukan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membongkar kegiatan syarikat lori tonto yang dikesan menggaji pemandu lori lapan tan tanpa lesen memandu sah.

Siasatan mendapati 20 lori milik syarikat itu tidak mempunyai cukai jalan atau cukai jalan tamat tempoh sejak lebih dua tahun lalu.

Difahamkan pemilik syarikat lori besar kepala itu berani melakukan kesalahan serius berikutan aktiviti mereka dilindungi kumpulan tonto sejak sekian lama.

Kegiatan syarikat itu dibongkar selepas JPJ mengadakan Op Khas Tonto sejak seminggu lalu sebelum mengesan pergerakan lori syarikat itu.

Berdasarkan risikan pegawai JPJ, syarikat itu mempunyai 20 lori dan tidak mempunyai pemandu lori mencukupi.

Akibatnya, pemilik syarikat mengupah individu tanpa lesen termasuk seorang mekanik yang hanya mempunyai lesen motosikal sebagai pemandu lori.

Berdasarkan pengakuan pemandu lori yang ditahan, dia yang sebelum ini bertugas membaik pulih lori syarikat itu ditawarkan bayaran RM80 sehari untuk memandu lori itu.

Lelaki berusia 30-an itu mendakwa tidak menyedari lori dipandu itu menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Timbalan Pengarah Penguatkuasaan JPJ Malaysia, Muhammad Kifli Ma Hasan berkata, pihaknya mengenal pasti lapan kesalahan dilakukan pemandu dan syarikat lori itu.

“Kami mengeluarkan 16 saman terhadap pemandu dan pemiliknya atas pelbagai kesalahan termasuk penggunaan nombor pendaftaran palsu, cukai jalan palsu dan memandu tanpa lesen.

“Syarikat lori berkenaan berani melakukan pelbagai kesalahan kerana dilindungi kumpulan tonto,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2016 @ 9:46 AM