ABDUL Hafiz dan Norlida bersama Qarl Muhammad Ziqri yang menghidap jantung berlubang.

Kuantan: Pasangan suami isteri mengharapkan bantuan orang ramai membantu menyelamatkan nyawa anak bongsu mereka berusia 14 bulan yang menghidap jantung berlubang berikutan tidak mampu membiayai kos pembedahan yang terlalu tinggi.

Abdul Hafiz Mohd Asri, 24, dan isterinya, Norlida Othman, 35, buntu mengumpul wang RM120,000 sebagai kos pembedahan jantung anak lelaki mereka, Qarl Muhammad Ziqri di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur.

Norlida berkata, wang simpanan mereka habis digunakan membiayai kos dua pembedahan sebelum ini sebanyak RM70,000, selain perbelanjaan untuk kos berulang-alik dan rawatan susulan setiap tiga bulan.

Menurutnya, Qarl Muhammad Ziqri pada mulanya mengalami demam dan batuk ketika berusia 42 hari dan dibawa ke klinik swasta.

“Bagaimanapun, doktor menyarankan kami merujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan doktor mengesahkan terdapat dua lubang sebesar wang syiling 20 sen pada jantungnya selain saluran pernafasannya tersumbat.

“Pembedahan pertama dilakukanOktober tahun lalu untuk penempatan gegelung besi ‘stent’ manakala pembedahan kedua 1 Ogos lalu memasukkan kamera melalui paha bagi melihat keadaan jantungnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Indera Mahkota, di sini, semalam.

Katanya, pembedahan ketiga dijangka dilakukan September depan di IJN untuk memasang belon pada saluran jantung, namun prosedur itu tidak dapat dilaksanakan jika wang pembiayaan tidak disediakan.

“Suami hanya bekerja pembantu kedai tayar di sini.

“Kami cukup berterima kasih kepada semua pihak yang berusaha membantu mendapatkan dana termasuk Pemuda UMNO Indera Mahkota dan pemilik restoran Jaman Tory di Indera Mahkota yang akan menganjurkan majlis makan malam amal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2016 @ 10:12 AM