AIZAT menunjukkan sijil penghargaan yang diterima.

Shah Alam: Nekad berhenti kerja untuk menceburi perniagaan sebagai pembekal arang bukan sesuatu yang mudah, namun ia dibuktikan seorang pemuda yang kini mampu meraih pendapatan lumayan selepas setahun melaksanakannya.

Aizat Khairul Anuar, 29, berkata, niat menceburi perniagaan itu tercetus apabila melihat iklan mengenai program keusahawanan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

“Saya sebelum ini pernah terfikir untuk membuat perniagaan arang, namun masih kekurangan modal dan tidak mempunyai pengalaman.

“Bagaimanapun, saya nekad berhenti kerja di sebuah pasar raya dan memulakan perniagaan dengan bermodalkan hanya RM500,” katanya ketika ditemui pada Majlis Graduasi Program Graduate Realizing Opportunities Way Forward (GROW) dan Retail 200 PKNS, di sini, semalam.

Majlis itu disempurnakan Setiausaha Kerja PKNS Roziah Ahmad.

Aizat antara 43 peserta program keusahawanan selama enam bulan itu yang turut diberi pendedahan mengenai perancangan perniagaan, pengurusan kewangan dan kaedah pemasaran.

Menurutnya, dia kini mengedar bekalan arang kepada 50 kedai runcit di sekitar Gombak dan berhasrat untuk mengembangkan lagi perniagaannya.

Sementara itu, Roziah berkata, menerusi program berkenaan, pemegang diploma dan ijazah diberikan latihan teori dan praktikal berkaitan aspek perniagaan.

“Mereka turut didedahkan dengan kaedah mendaftar perniagaan dan membantu mengenal pasti produk atau identiti jualan sendiri sehingga mampu menyediakan rancangan perniagaan yang meyakinkan.

“Sepanjang program GROW, jumlah keseluruhan jualan yang berjaya diraih oleh peserta berjumlah RM16.3 juta dan ia dianggap membanggakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2016 @ 10:20 AM