Syed Saleh menunjukkan aplikasi Hajj Mobility yang memantau pergerakan bas jemaah.

Makkah: Lembaga Tabung Haji (TH) menasihatkan jemaah supaya mematuhi jadual melontar di jamrah dan tidak mengambil risiko pergi sendiri bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, terdapat segelintir jemaah haji Malaysia yang gagal mengikut jadual yang disusun dan ini meletakkan mereka dalam bahaya.

“Setiap tahun akan ada beberapa jemaah yang pergi melontar di luar jadual yang ditetapkan.

“Ini menjadi satu kesalahan yang mana kita akan ditegur kerajaan Arab Saudi berikutan rombongan haji Malaysia tidak mengikut jadual.

“Kita juga berharap jemaah tidak berulang-alik dari Mina ke Makkah dengan sendiri yang mana selepas melontar mereka akan balik ke Makkah.

“Saya mendapati ini juga boleh mendedahkan jemaah haji kepada isu keselamatan,” katanya ketika sesi taklimat operasi Masya’ir kepada media di Ibu Pejabat TH Makkah, semalam.

Menurut beliau, jika sesuatu insiden berlaku ke atas jemaah yang tidak mengikut jadual ditetapkan, ia secara tidak langsung menyukarkan usaha mengenal pasti kedudukan jemaah berkenaan.

Katanya, pihak TH juga sudah pun mengadakan taklimat mengenai perkara itu kepada jemaah.

“Kita menasihatkan jemaah tidak membuat pergerakan sendiri kerana ia boleh mengakibatkan mereka bertembung dengan rombongan jemaah haji dari negara lain yang mana pergerakan mereka berbeza dan ini mungkin menimbulkan ancaman kepada keselamatan jemaah,” katanya.

Katanya, pihak berkuasa Arab Saudi akan memantau pergerakan jemaah menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) dan pesawat udara untuk memastikan jemaah dari semua negara mengikut jadual ditetapkan.

Dalam insiden rempuhan di Mina pada 23 September tahun lalu, seorang rakyat Malaysia turut terkorban berikutan gagal mengikut jadual melontar ditetapkan.

Sementara itu, Syed Saleh berkata, jemaah haji Malaysia akan berada di Mina mulai 10 hingga 13 Zulhijjah, bagaimanapun mereka yang menaiki penerbangan KT01 hingga KT10 akan melakukan Nafar Awal iaitu tidak melontar pada 13 Zulhijjah.

Katanya, mereka akan keluar dari Mina dan balik ke Makkah untuk bersiap menaiki pesawat pulang ke tanah air pada 17 September.

“Saya yakin seperti tahun-tahun lalu kita dapat membuat rundingan dengan pihak berkuasa supaya jemaah Malaysia dapat melakukan lontaran pada lewat petang atau malam bagi mengelak cuaca panas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2016 @ 5:23 AM