ROSNI (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Muhammad Saiful Iskandar.
Mohd Nasif Badruddin


Ampang: “Ketika masuk ke pintu berlepas, arwah tatap wajah kami seorang demi seorang tanpa senyuman atau kata-kata,” kata Muhammad Saiful Iskandar Kassim, 39, anak kepada bakal jemaah haji, Kassim Palidin, 68, yang meninggal dunia akibat serangan jantung di Makkah, Arab Saudi pada 28 Ogos lalu.

Allahyarham ditemani isteri, Norbiyah Sidin, 64, berlepas ke Tanah Suci dengan penerbangan KT33 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Jeddah pada 27 Ogos lalu dan meninggal dunia ketika tidur di Hotel Land Premium jam 4.30 pagi.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Syaraek, Makkah selepas solat Asar pada 28 Ogos lalu.

Muhammad Saiful Iskandar berkata, mereka sekeluarga terkejut dengan berita berkenaan kerana sehari sebelum itu Allahyarham teruja membuat persediaan dengan menggunting rambut dan misai.

Menurutnya, bapanya itu pernah dimasukkan ke hospital beberapa tahun lalu kerana penyakit darah tinggi.

“Sehari sebelum itu arwah masih bekerja sebagai pemandu lori dan dia mungkin penat selain bangun seawal jam 3 pagi untuk bertolak ke Kelana Jaya.

“Ketika kali terakhir bertemunya, bapa sempat menasihatkan saya supaya menjaga rumah dan keluarga,” katanya ketika menerima kunjungan Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji (TH) Datuk Rosni Sohar dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Badlisyah Abdul Ghani di Taman Bakti, di sini, semalam.

Menurutnya, dia sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada TH yang membantu menguruskan jenazah serta menenangkan ibunya di Tanah Suci.

“Saya harap ibu sihat dan dapat meneruskan haji dengan sempurna,” katanya.

Sementara itu, Rosni berkata, selain menguruskan pengebumian Kassim, TH juga menyediakan kaunselor kepada Norbiyah bagi memberi semangat kepadanya untuk meneruskan haji dengan baik.

“TH akan menguruskan badal haji arwah dan untuk semua jemaah haji yang meninggal dunia di Tanah Suci serta menyampaikan sumbangan wang tunai dan buah tangan kepada keluarga di tanah air,” katanya.

Sehingga kini, enam kematian dilaporkan membabitkan bakal jemaah haji Malaysia iaitu seorang di Hospital Putrajaya, dua di Madinah dan tiga di Makkah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2016 @ 7:38 AM