Zainah memberi makanan kepada ternakannya.
Zainah memberi makanan kepada ternakannya.
Hassan Omar


Alor Gajah: Selain lembu dan kerbau, permintaan terhadap ayam belanda atau nama saintifiknya ‘meleagris gallopavo’ turut meningkat secara mendadak menjelang Aidiladha, Isnin depan.

Penternak ayam belanda Zainah Yusof, 56, dari Kampung Solok Duku, di sini, berkata, daging ayam belanda yang lembut, halus dan enak menyebabkan semakin ramai penduduk di negeri ini memilih ternakan terbabit bagi dijadikan hidangan istimewa keluarga pada Aidiladha.

Namun, kesukaran mendapatkan baka menyebabkan jumlah ternakan itu amat terhad walaupun dia dan suaminya Rosli Jamaluddin, 55, mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.

“Sekarang kami hanya ada 20 ayam belanda, namun 18 sudah ditempah pelanggan, harga jualan pula ditetapkan pada RM35 satu kilogram (kg) iaitu sama seperti harga angsa.

“Alhamdulillah, sambutan terhadap daging ayam belanda masih tinggi. Pada Aidilfitri lalu saya dan suami menjual sehingga 34 ekor ternakan sama dengan berat antara lima hingga tujuh kg,” katanya ketika ditemui, semalam.

Katanya, selain ayam belanda, ternakan lain seperti angsa, itik nila dan itik daging turut mendapat permintaan tinggi menjelang sambutan Aidiladha.

Zainah berkata, dia dan suami menjalankan aktiviti penternakan itik nila, itik daging, angsa, ayam kampung, ayam kung fu dan ayam belanda di tanah seluas 0.4 hektar di jalan Solok Duku-Sungai Udang, sejak dua tahun lalu.

Rosli berkata, ternakan paling laris adalah itik nila dan itik daging berikutan ramai perantau pulang ke kampung mahu menikmati keenakan daging haiwan itu.

“Kini semakin ramai beralih kepada daging ayam, belanda, angsa dan itik untuk dimasak sebagai rendang atau kari kerana rasa ternakan itu yang memenuhi selera kampung.

“Malah ada pelanggan saya kini tidak lagi menggunakan ayam kampung atau ayam daging sebagai hidangan istimewa pada Aidilfitri atau Aidiladha,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2016 @ 9:54 AM