PENERBANGAN khas APMM membawa Nur Shaurah dari HRPZ II ke Hospital Serdang, semalam.

Kota Bharu: Seorang bayi perempuan berusia sebulan yang menghidap penyakit jantung berlubang dibawa ke Hospital Serdang, Selangor menggunakan penerbangan ihsan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), semalam.

Nur Shaurah Shahril Nizam yang menghidap penyakit itu sejak lahir sebelum ini dirawat
di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini.

Ibu bayi itu, Dr Hazura Hamzah, 41, yang berkhidmat di Hospital Tanah Merah berkata, anak bongsu daripada empat beradik itu memerlukan pembedahan segera memandangkan keadaan penyakitnya kronik.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak kerana memberi bantuan segera membawa anak saya ke Hospital Serdang.

“Anak saya dijangka menjalani pembedahan Rabu ini dan saya berharap dia sihat seperti bayi normal lain,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu, Pengarah Maritim Wilayah Timur Laksamana Pertama Maritim Datuk Mamu Said Alee berkata, penerbangan itu menggunakan helikopter Agusta Westland Aw139 APMM diketuai Leftenan Komander Maritim Mohd Ikmal Ridzuan bersama dua anak kapal.

“Mereka berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa pada jam 10 pagi.

“Seorang doktor dan dua jururawat turut mengiringi pesakit bagi mengendali beberapa peralatan perubatan sepanjang tempoh penerbangan dan proses pemindahan itu.

“Pesakit dalam keadaan sedar tetapi memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2016 @ 8:52 AM