Megat Mohamad (dua dari kanan) menunjukkan barang yang dirampas berkaitan kes pemerdagangan orang pada sidang media di IPD Serdang, semalam.
Nurul Hidayah Bahaudin 


Serdang: Jual dan jadikan ‘saudara’ sekampung sebagai buruh paksa di Malaysia.

Itu antara tindakan empat suspek lelaki Bangladesh yang dikesan menjadi dalang sindiket pemerdagangan manusia dengan mengurung 19 mangsa lelaki warga Bangladesh di Seri Kembangan, di sini.

Semua mangsa berusia antara 20 hingga 50 tahun itu ditemui dikurung dalam rumah di Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan, di sini, sebaik tiba di negara ini tiga minggu lalu.

Serbuan pada jam 7.30 malam, Sabtu lalu itu dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya selepas mendapat maklumat hasil risikan dilakukan.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata, hasil siasatan awal mendapati semua mangsa masuk ke negara ini secara sah dan memiliki dokumen perjalanan sah.

“Mangsa mendakwa mereka membayar sejumlah wang kepada sindiket yang berperanan sebagai ejen dan menjanjikan mereka pekerjaan di Malaysia.

“Bagaimanapun, sebaik tiba, mereka dijadikan buruh paksa di tapak pembinaan dan dikurung di dalam rumah berkenaan selepas habis waktu bekerja bagi mengelakkan mangsa melarikan diri,” katanya pada sidang media di IPD Serdang, di sini, semalam.

Megat berkata, siasatan berhubung kes itu masih dijalankan termasuk usaha mengenal pasti identiti empat lelaki warga Bangladesh yang dipercayai terbabit dalam kes itu.

“Empat dalang utama itu masih diburu polis. Semua mangsa kini ditempatkan di pusat perlindungan di Kuala Lumpur, Melaka dan Rembau, Negeri Sembilan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Imigran (ATIPSOM) 2007,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2016 @ 9:25 AM