saiful Hadi bersama Nur Kiasatina yang sentiasa akrab dengan al-Quran sebagai petunjuk.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: “Saya percaya berkat mengamalkan bacaan al-Quran banyak membantu saya mudah belajar dalam kelas,” itu kata Saiful Hadi Baharin, 14, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kuala Lumpur.

Saiful Hadi muncul pelajar termuda pertama yang berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran sejak program Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA) diperkenalkan Kementerian Pendidikan pada 2014.

Menurut bekas Johan Qari Junior musim kedua anjuran TV3 pada 2013 itu, kesibukan rutin harian sebagai pelajar sekolah berasrama tidak menghalang dirinya mendampingi al-Quran setiap hari.

“Daripada segi saintifik diakui penggunaan otak kiri dan kanan serentak berfungsi apabila kita mengamalkan bacaan dan hafazan al-Quran, sekaligus memudahkan kita menerima ilmu.

“Walaupun jadual harian padat di sekolah, janganlah kita menganggap al-Quran itu sebagai bebanan sebaliknya ia sebenarnya akan memudahkan kita berjaya dalam pelajaran mahupun membentuk sahsiah diri yang baik,” katanya.

Menurutnya, dia mula belajar mengenali al-Quran daripada ibunya yang mendidiknya sejak berusia 10 tahun.

“Saya banyak tasmid (perdengar bacaan) dengan ibu sebelum belajar dengan ustaz bertauliah di kawasan berdekatan rumah saya.

“Ketika di tahun enam, saya sudah pandai menghafaz sehingga juzuk 11. Syukurlah tahun ini saya berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk,” katanya.

Sementara itu, Nur Kiasatina Suhaimi, 15, pula menjadikan arwah ibunya sebagai dorongan untuk dirinya terus beristiqomah mendampingi al-Quran sehingga berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk pada Julai lalu.

“Mama meninggal dunia masa saya di tahun dua kerana kanser rahim.

“Kejayaan ini bagi saya, hadiah paling bernilai buat mama yang mahu saya jadi anak solehah.

“Saya harap, dengan mengamalkan hafazan al-Quran saya dapat meringankan azab mama dalam kubur,” katanya.

Menurutnya, dia perlu bijak membahagi masa belajar dengan membaca dan menghafaz al-Quran supaya berjaya dalam dua bidang.

“Setiap hari, saya akan menghafaz al-Quran bermula jam 5.30 pagi sehingga azan Subuh dan ketika Maghrib hingga masuk waktu Isyak.

“Apabila dalam kelas saya tumpukan sepenuhnya kepada pelajaran dan jika ada masa lapang saya akan membaca al-Quran.

“Selain pembahagian masa, saya juga mengamalkan pemakanan berkhasiat seperti kurma, madu dan susu selain makanan lain bagi menguatkan daya ingatan dan memberi kecerdasan otak,” katanya.

Katanya, dia mahu menjadi seorang pakar perubatan yang mempunyai ilmu agama dengan menggunakan al-Quran dalam bidang perubatan.

“Memang dalam al-Quran jelas menyebut ada penyakit yang boleh dirawat menggunakan ayat suci al-Quran.

“Saya mahu menjadi doktor yang bukan saja berilmu pengetahuan dalam bidang perubatan moden tetapi pada masa sama boleh mengamalkan ayat al-Quran dalam merawat penyakit,” katanya.

Dua remaja terbabit adalah contoh anak muda yang sentiasa akrab dengan al-Quran sebagai petunjuk mereka menjalani kehidupan.

Kumpulan Media Prima Berhad bersama media tempatan utama lain bergabung membentuk satu sinergi bagi menyokong penganjuran World #QuranHour anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (YWUI) di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, semalam.

Ia turut dianjurkan serentak selama satu jam di lokasi berlainan dalam dan luar negara, termasuk jemaah haji yang berkumpul di Padang Arafah pada hari berkenaan sebagai tanda solidariti berinteraksi dan mengangkat martabat al-Quran.

Program itu juga adalah kesinambungan daripada #AktifkanRumahNgaji dan #MalaysiaNgaji yang dianjurkan sejak 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2016 @ 8:14 AM