MATA Aliyah mengalami pendarahan akibat dibuli.
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun bukan saja cedera di kepala dan mengalami pendarahan teruk pada mata kiri, malah turut trauma selepas dipercayai menjadi mangsa buli di sebuah sekolah rendah di bandar raya ini, Rabu lalu.

Akibat kejadian itu, Aliyah Maisarah Samsu Bahri yang juga anak kedua daripada empat beradik terpaksa menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, dan ditahan selama satu hari untuk rawatan susulan selain trauma untuk ke sekolah kerana bimbang kejadian sama berulang.

Menurut Aliyah Maisarah, dia takut untuk ke sekolah kerana bimbang dibuli lagi oleh murid lelaki itu.

“Saya dipukul kerana tidak membenarkan dia (murid lelaki) merampas wang saku diberikan bapa untuk perbelanjaan di sekolah,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Samsul Bahri Peet, 36, berkata, dia tidak mengesyaki sebarang kejadian buruk menimpa anaknya kerana menyangka anaknya hanya sakit biasa di kepala dan mata.

“Pada Rabu lalu, Aliyah memaklumkan kepalanya sakit akibat dipukul rakan sekelas tetapi saya tidak mengambil perhatian kerana menyangka ia perkara biasa dan tidak perlu diperbesarkan,” katanya.

Menurutnya, mata anaknya juga semakin membengkak pada Jumaat selain terdapat kesan pendarahan teruk pada mata kiri sehingga terkeluar darah daripada mata menyebabkannya bergegas membawa anaknya itu ke HSNZ untuk rawatan lanjut.

“Hasil pemeriksaan dijalankan HSNZ, Aliyah disyaki terkena hentakan kuat pada kepala dan mata menyebabkan berlaku pendarahan pada matanya.

“Saya terkilan dengan kejadian yang berlaku kepada Aliyah tetapi tidak menyalahkan pihak sekolah, cuma berharap ada tindakan tegas diambil bagi memastikan murid lelaki tahun dua yang dipercayai sangat nakal dan agresif itu diberi pengajaran supaya tidak mengulangi perbuatannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2016 @ 9:26 AM