KEADAAN kereta yang merempuh pagar Masjid Wardieburn, semalam.
myMetro

Kuala Lumpur: Seorang lelaki dan seorang wanita menahan azab kesakitan lebih 30 minit apabila kenderaan dipandu mereka terbabit dalam nahas di Jalan Genting Klang berhampiran Masjid Wardieburn, di sini.

Dalam kejadian jam 7.30 malam kelmarin, pemandu Perodua Myvi berusia 27 tahun cedera di leher manakala pemandu Proton Exora, Carol Shanti John Raman, 47, cedera di belakang badan.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur Ruslan Lokk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.39 malam dan sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, didapati terdapat kejadian kemalangan membabitkan tiga kenderaan dan dua mangsa cedera,” katanya.

Menurutnya, saksi kejadian mendakwa kejadian berlaku apabila Perodua Myvi dipercayai bergesel dengan Proton Persona dan Proton Exora sehingga hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan sebelum merempuh pagar Masjid Wardieburn.

“Saksi itu yang berada di lokasi terkejut dan segera membuat panggilan kecemasan,” katanya.

Ruslan berkata, anggotanya segera memberikan bantuan awal kepada mangsa yang cedera dalam kemalangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2016 @ 9:43 AM