MANGSA sekeluarga berteduh dalam pondok di luar rumah selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran.
myMetro

Bagan Serai: Persiapan sebuah keluarga untuk menyambut ulangtahun kelahiran anak perempuan berusia tiga tahun terkubur apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Parit Haji Sulaiman, Sungai Bogak, di sini, kelmarin.

Lebih menyedihkan apabila kebakaran jam 6.30 petang itu menyebabkan mereka tidur di pondok di luar rumah yang hangus sepenuhnya.

Anak pemilik rumah, Awangku Farid Hamid, 28, berkata, ketika kejadian ibunya, Saniah Che Mat, 70, isterinya, Fatin Hazwani Shaari, 28, dan anaknya, Nurhanis Fatihah, 3, berada di rumah manakala dia membantu bapanya, Hamid Kasim, 80, berniaga di pasar awam Bagan Serai, di sini.

“Sewaktu kejadian ibu berada di luar rumah manakala isteri dan anak saya memasak sebagai persiapan sambutan hari jadi anak hari ini (semalam).

“Kejadian disedari apabila isteri memaklumkan bekalan elektrik terputus kepada ibu dan terkejut apabila mendapati api marak di tingkat atas rumah ketika mahu memeriksa kotak fius elektrik,” katanya selepas dikunjungi Ahli Parlimen Bagan Serai Dr Noor Azmi Ghazali, di sini, semalam.

Menurutnya, isteri dan anak perempuannya segera menyelamatkan diri dan meminta bantuan jiran manakala ibunya cuba naik ke tingkat atas rumah untuk menyelamatkan dokumen penting dan wang tunai, namun gagal kerana api marak begitu cepat.

“Sebaik dihubungi jiran, saya dan bapa bergegas pulang sebelum mendapati rumah sudah musnah. Sebuah motosikal turut terbakar namun Perodua Kelisa milik saya sempat diselamatkan jiran,” katanya yang menganggarkan kerugian sebanyak RM250,000.

Katanya, dia bersyukur kerana keluarganya terselamat walaupun hilang tempat tinggal selepas rumah berusia 31 tahun itu musnah.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai Penolong Kanan Penguasa Bomba Abdul Nasir Jalil berkata, setibanya jentera di tempat kejadian didapati 80 peratus rumah berkenaan sudah terbakar.

“Anggota bomba sukar tiba ke lokasi kejadian disebabkan halangan jambatan tali air sempit. Kami menggunakan air daripada tali air bagi memadamkan kebakaran sebelum mengawal api sepenuhnya jam 8 malam tadi (kelmarin),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2016 @ 9:48 AM