KHAMIS (tengah) bersama 20 anak Hari Malaysia yang lahir pada 16 September.
HARAINY (kiri) membetulkan tanjak yang dipadankan kepada anaknya, Rafiq.
Zairee Mohd Yasak


Melaka: Ulang tahun kelahiran keenam Rafiq Haiqal Rozaidi, 6, adalah yang paling meriah bagi kanak-kanak itu apabila dia dapat memperagakan pakaian bercorak Jalur Gemilang ditempah khas ibunya.

Pakaian itu ditempah ibu Rafiq Haiqal, Harainy Alwi, 33, sempena sambutan Hari Malaysia di perkarangan Muzium Kapal Selam, Klebang, di sini, kelmarin yang dianjurkan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM).

Segak bergaya dengan tanjak dijahit neneknya, Nyaros Abdullah, 56, kanak-kanak itu menjadi tumpuan di kalangan 150 tetamu yang turut meraikan 20 jemputan khas dilahirkan pada 16 September.

Harainy berkata, pakaian itu menggunakan dua Jalur Gemilang bersaiz besar dan mengambil masa empat hari untuk dijahit rakannya dengan upah RM40.

Harainy berkata, pada mulanya dia terfikir mahu menghadiahkan baju bercorak Jalur Gemilang kepada anak keduanya itu pada Hari Kebangsaan ke-59 namun menangguhkan kerana ia lebih sesuai digayakan pada sambutan Hari Malaysia.

“Memandangkan Rafiq Haiqal dilahirkan pada tarikh pengisytiharan Hari Malaysia iaitu tahun 2010, saya merasakan hari ini (kelmarin) paling sesuai untuk dia menggayakan pakaian itu.

“Lebih menggembirakan kami apabila Rafiq Haikal yang lahir pada 16 September dipilih untuk diraikan pada sambutan Hari Malaysia,” katanya ketika ditemui pada program itu.

Sambutan kali ketiga anjuran PERZIM diadakan di perkarangan Muzium Kapal Selam itu memberi peluang kepada kanak-kanak yang lahir pada Hari Malaysia di negeri ini meraikan sambutan ulang tahun kelahiran secara beramai-ramai.

Sementara itu Pengurus Besar PERZIM Datuk Khamis Abas berkata, senarai individu dijemput untuk diraikan pada majlis itu sentiasa dikemaskini setiap tahun bagi mengelakkan berlaku keciciran.

“Kami mahu meraikan semua individu lahir pada Hari Malaysia, berikutan itu PERZIM menggunakan sistem giliran supaya mereka lahir pada tarikh bersejarah ini dapat merasa kemeriahan sambutan ulang tahun kelahiran dalam program kami anjurkan.

“Pada sambutan kali ini, bayi berusia 12 bulan dan wanita berusia 53 tahun antara 20 jemputan yang diraikan kakitangan PERZIM,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2016 @ 5:16 AM