KEADAAN lantai pondok di kebun kelapa sawit
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun mendakwa dirogol empat rakan lelaki yang baru dikenalinya menerusi aplikasi sosial WeChat dalam kejadian di sebuah pondok di kebun kelapa sawit di Kampung Manong, Ayer Hitam, di sini, Khamis lalu.

Dalam kejadian jam9 malam, mangsa mendakwa dirogol kenalan lelaki yang baru dikenalinya sebelum tiga lagi rakan lelaki terbabit tiba di lokasi kejadian dan merogol mangsa secara bergilir-gilir.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, melalui siasatan awal, mangsa mengaku baru saja mengenali seorang daripada rakan lelakinya 10 hari lalu di WeChat sebelum mereka bertemu.

“Sebelum kejadian, mangsa keluar dari rumahnya di kawasan Parit Raja dengan memberitahu ibunya hendak belajar di rumah rakan namun dia bertemu kenalan lelaki terbabit untuk bersiar-siar.

“Mangsa kemudian mengikut kenalan lelakinya menaiki motosikal ke Ayer Hitam sebelum bertemu tiga lagi rakan temannya dan dipaksa mengikut mereka ke sebuah kebun kelapa sawit di Kampung Manong,” katanya.

Menurutnya, mangsa diajak ke sebuah pondok di kebun sawit berkenaan sebelum dirogol secara bergilir-gilir oleh empat lelaki terbabit.

Abdul Wahib berkata, penduduk kampung yang menyedari kejadian itu bertindak menyerbu pondok berkenaan menyebabkan semua empat suspek dan mangsa melarikan diri serta bersembunyi di dalam kebun sawit berkenaan dengan meninggalkan motosikal mereka.

“Penduduk kampung menghubungi polis dan bapa mangsa sebelum menyerahkan mangsa kepada pihak berkuasa,” katanya.

Menurut Abdul Wahib, dua suspek yang berusia 14 dan 15 tahun sudah ditahan di kawasan Ayer Hitam, manakala polis masih mengesan dua lagi suspek.

“Mangsa turut mengaku pernah melakukan hubungan seks dengan beberapa lelaki lain sebelum ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2016 @ 5:34 AM