SEBAHAGIAN daripada 40 guru yang menjalani latihan VLE Frog.

Sungai Buloh: Bagi menjadikan kaedah pembelajaran masa kini seiring dengan perkembangan teknologi, seramai 40 guru dari daerah Gombak dipilih dalam memperkasakan usaha berkenaan.

Semua guru yang terpilih itu berkumpul di Sekolah Kebangsaan (SK) Merbau Sempak, di sini, yang dilantik sebagai ‘Sekolah Hubs’ bagi menjalani proses latihan dipanggil ‘Virtual Learning Environment’ (VLE Frog), semalam.

Penolong Pengarah Analisis dan Indikator SPM ICT, Jabatan Pendidikan Selangor Mohd Asri Zain berkata, program berkenaan bertujuan memberi peluang kepada guru untuk bertukar pandangan serta berkongsi ilmu pengetahuan masing-masing.

“VLE Frog adalah satu kaedah pembelajaran alternatif secara maya atau dalam talian yang menggunakan akses Internet khusus untuk murid sekolah selain menjalani pembelajaran di dalam bilik darjah.

“Seperti semua sedia maklum, setiap sekolah kini dilengkapi dengan penyelesaian bersepadu yang membolehkan pengajaran, pembelajaran, kolaborasi dan pengurusan pentadbiran dijalankan di Internet menerusi VLE Frog yang boleh diakses di mana-mana saja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Sekolah Hubs Daerah Gombak 2016 di SK Merbau Sempak, di sini, semalam.

Hadir sama, Pegawai Pendidikan Daerah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Gombak Sajoli Masdor; Pengarah YTL Communication Sdn Bhd Shahrul Amran serta Guru Besar SK Merbau Sempak Nini Nafaizah Mokhtar.

Katanya, menerusi VLE Frog, murid diberikan tugasan atau latihan oleh guru secara dalam talian yang boleh dilakukan di luar bilik darjah sambil dipantau ibu bapa masing-masing.

Sementara itu, Sajoli berkata, ‘Sekolah Hubs’ berfungsi sebagai pusat komuniti pembelajaran profesional untuk sekolah berhampiran dengan guru bagi mendapat bimbingan VLE Frog.

Katanya, ia akan memberi fokus kepada kepemimpinan ke arah celik teknologi maklumat (IT) manakala sekolah yang terpilih berdasarkan kemampuan menyediakan prasarana bilik ICT.

“PPD serta sekolah sangat bergantung kepada sumbangan daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang banyak memainkan peranan dalam menyediakan prasarana dan merealisasikan hasrat negara ke arah kecemerlangan menerusi operasi lebih fleksibel,” katanya.

Dalam pada itu, Nini Nafaizah berkata, murid SK Merbau Sempak begitu bersemangat selepas pihak sekolah berjaya menyediakan bilik ICT untuk mereka mendalami cara pembelajaran secara dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2016 @ 6:49 AM