Klang: “Saya sedih melihat banyak perabot tidak dapat diselamatkan dan rosak akibat banjir kilat yang berlaku pada Ahad lalu,” kata Sabihis Manab, 60, mangsa banjir di Kampung Tok Muda, di sini, semalam.

Menurutnya, kejadian air pasang besar luar biasa mengakibatkan dia bersama ratusan penduduk kampung ‘menginap’ sementara di Dewan Tok Muda bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Mengimbau kembali kejadian itu, benteng yang menjadi penghalang air laut runtuh mengakibatkan rumahnya dinaiki air dalam masa singkat, sekali gus tidak sempat menyelamatkan barangan penting dan berharga.

“Selepas dibenarkan pulang, banyak yang perlu dilakukan termasuk membuang perkakas dan perabot rosak kerana tidak boleh digunakan. Apa pun, terima kasih di atas keprihatinan pihak berkuasa kerana ramai sedia membantu penduduk mengemas rumah,” katanya.

Penduduk lain, Baharudin Ibrahim, 30, berkata, dia melahirkan rasa lega selepas dibenarkan pulang ke rumah sejak tengah hari semalam.

“Saya perlu mengemas rumah daripada segala kekotoran dan ia perlu dilakukan dengan segera kerana keadaan cuaca baik,” katanya.

Setakat ini, tiga pusat pemindahan banjir di negeri itu ditutup sejak petang semalam dan mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pusat pemindahan di Kampung Tok Muda, Klang dan Balai Raya Lorong Hamzah 2, Tanjong Karang ditutup jam 12 tengah hari.

Menurutnya, mangsa banjir di Kampung Sungai Air Tawar, Sabak Bernam juga sudah pulang ke rumah masing-masing sejak jam 3 petang.

“Ketika ini pihak bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) melakukan kerja pembersihan rumah mangsa yang terbabit dengan bencana berkenaan. Kerja pembersihan dijangka diteruskan sehingga esok (hari ini) bersama agensi lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2016 @ 7:21 AM
NORRITA Husin mengasingkan serpihan almari yang rosak akibat banjir di Kampung Tok Muda, Kapar.