Ahmad Zaharin (dua kiri) mencuba pengecas kenderaan elektrik.
Ayusliza Azizan
hmetroshahalam@hmetro.com.my


Shah Alam: Pemilik kenderaan elektrik di bandar raya ini boleh mengecas kenderaan mereka secara percuma di empat lokasi yang disediakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Empat lokasi alat pengecas elektrik (EV Charger) itu boleh didapati di Pusat Akuatik Seksyen 13, pejabat cawangan MBSA Kota Kemuning Seksyen 31, pejabat cawangan MBSA Setia Alam Seksyen U13 dan Perpustakaan Tun Uda Shah Alam Seksyen 14.

Datuk Bandar Shah Alam Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, inisiatif pemasangan EV Charger itu adalah permulaan menggalakkan orang ramai menggunakan kenderaan elektrik.

“Kenderaan elektrik ternyata membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar khususnya pelepasan karbon dioksida ke ruang udara.

“Walaupun pada masa ini jumlah kenderaan elektrik kurang, pemasangan EV Charger juga satu langkah proaktif yang diambil MBSA serta kerajaan negeri dalam menggalakkan penggunaannya,” katanya pada Majlis Taklimat Kempen Bangunan Rendah Karbon dan Perasmian EV Charger Kenderaan di Wisma MBSA, di sini, semalam.

Ahmad Zaharin berkata, EV Charger itu akan dipasang di lima lokasi lain seperti Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Dewan MBSA Seksyen 4, Aeon Shah Alam Seksyen 13, SACC Shah Alam Seksyen 14 dan Taman Tema Sukan Lasak Shah Alam Seksyen 13.

Sementara itu, beliau berkata, taklimat Kempen Bangunan Rendah Karbon itu bertujuan memberi pendedahan secara menyeluruh mengenai konsep Shah Alam Bandar Raya Rendah Karbon Menjelang 2030.

Katanya, taklimat kali ketiga itu disampaikan kepada 150 peserta terdiri daripada wakil pemilik bangunan di sekitar Shah Alam dan pegawai pengurusan MBSA.

“Taklimat ini membuka ruang kepada pemilik bangunan khususnya hotel, bangunan pejabat, kompleks membeli-belah, institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan hospital swasta bertukar-tukar pendapat terhadap amalan hijau yang dipraktikkan,” katanya.

Caption:

1) AHMAD Zaharin merasmikan EV Charger di Wisma MBSA Shah Alam, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2016 @ 8:35 AM