Seorang lelaki dengan tatu kumpulan kongsi gelap ditahan polis.
myMetro

Kuala Lumpur: Polis menahan seorang lelaki selepas dikesan menjadi anggota kumpulan kongsi gelap di Jalan Sentul, di sini, petang kelmarin.

Suspek berusia 25 tahun yang dipercayai aktif dalam kegiatan kongsi gelap sejak tiga tahun lalu ditahan jam 4 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, suspek ditahan selepas pihaknya menemui tatu yang disyaki lambang kumpulan kongsi gelap yang aktif di Lembah Klang.

“Polis menahan lelaki itu di Jalan Sentul sebelum melakukan pemeriksaan. Kami menemui beberapa tatu dicacah pada badan dengan satu di lehernya dengan lambang kumpulan kongsi gelap,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati lelaki itu tidak mempunyai rekod jenayah.

“Kami menjalankan siasatan berhubung kegiatan jenayah suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 52(3) Akta Pertubuhan 1956 kerana menyertai kumpulan tidak dibenarkan,” katanya.

caption:

1. TATU yang dicacah di leher suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2016 @ 8:37 AM