Siti Farahiyah Aziz
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Kerajaan perlu mengkaji semula Credit Tip Off Service Sdn Bhd (CTOS) yang dilihat berat sebelah dan tidak adil kepada pengguna.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, ini kerana sistem itu disifatkan sebagai ‘hukuman mati’ kepada pengguna walaupun ia hanya membabitkan urusan antara institusi kewangan.

“Rata-rata peminjam yang disenaraikan di bawah CTOS sudah melangsaikan hutang atau pinjaman mereka namun selepas disemak semula nama mereka masih ada dalam sistem itu.

“Akibatnya pengguna terus diheret dengan masalah hutang lampau sehingga mengalami masalah dan sukar untuk membuat pinjaman kedua bagi urusan tertentu,” katanya ketika ditemui pada Sidang Media CTOS Zalim? Paling Berkuasa? di Our Private Place, Kondominium Villa Puteri, di sini, semalam.

Menurutnya, kerajaan juga perlu menetapkan tempoh tertentu untuk peminjam membersihkan namanya selepas melangsaikan hutang bagi memberi peluang kedua kepada mereka membabitkan diri dalam perkembangan ekonomi.

“Sekiranya peminjam sentiasa disenarai di bawah CTOS, lama-kelamaan ia akan melumpuhkan perkembangan ekonomi negara kerana golongan berkenaan sudah tiada peluang kedua untuk memohon apa-apa pinjaman.

“Oleh itu, pihak berkaitan perlu menyediakan satu garis panduan pengurusan baru untuk mengeluarkan senarai nama peminjam yang sudah membayar hutang mereka daripada terus terperangkap dalam sistem berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menerima banyak aduan daripada mangsa yang terasa dirinya teraniaya kerana terdapat individu lain yang mengambil kesempatan menggunakan maklumat diri termasuk nombor pendaftaran kereta sehingga terjebak di bawah CTOS walaupun tidak pernah berurusan dengan institusi kewangan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2016 @ 8:54 AM