JAMIL Khir (dua dari kanan) merasmikan Seminar Kebangsaan Transformasi Pengurusan Harta Pusaka di Malaysia dan Pelancaran E-Faraid di USIM, semalam.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@hmetro.com.my


Nilai: Proses pembahagian harta pusaka membabitkan masyarakat Islam perlu diperbaharui dan diselesaikan kurang tujuh hari waktu bekerja.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana proses sedia ada dianggap lapuk malah tidak sesuai diguna pakai pada masa kini.

Katanya, beliau mencadangkan tempoh berbulan-bulan diperlukan untuk menguruskan harta terbabit dikurangkan tujuh hari waktu bekerja.

“Tempoh dicadangkan ini hanya sesuai bagi kes tidak membabitkan pertelingkahan antara waris selain nilai harta tidak terlalu besar.

“Lebih penting semua urusan perlu memiliki dokumen lengkap,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Kebangsaan Transformasi Pengurusan Harta Pusaka di Malaysia dan Pelancaran E-Faraid di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Dr Ahmad Zahid berkata, sebagai contoh, urusan kelulusan pasport Jabatan Imigresen sebelum ini dianggap sukar kerana memerlukan beberapa bulan.

“Hasil inovasi, kreativiti dan transformasi jabatan itu, tempoh lama dipendekkan hingga kurang sehari atau beberapa jam.

“Ini perlu dilakukan pihak pengurusan harta pusaka termasuk mahkamah syariah. Mereka perlu mengikuti kejayaan Jabatan Imigresen bagi memastikan urusan harta pusaka diselesaikan dengan cepat.

“Lebih penting memudahkan urusan orang ramai yang pasti tidak mahu menunggu lama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2016 @ 9:06 AM