Muhammad Saufi Hassan
saufi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Kenaikan itu memang membebankan kami tambahan untuk rakyat Malaysia yang masih menggunakan Visa Perniagaan yang memerlukan ia diperbaharui setiap enam bulan sekali.”

Demikian reaksi seorang rakyat Malaysia yang tinggal di Makkah, Amera Sabrena Ahmad Sobri berhubung keputusan Kerajaan Arab Saudi menaikkan kadar visa bagi pelancong yang melawat ke negara berkenaan.

Keputusan itu dibuat Arab Saudi awal Ogos lalu dan ia dikuatkuasakan menjelang 1 Oktober depan termasuk kepada jemaah haji, umrah dan pelancong yang menggunakan visa ke negara berkenaan.

Amera Sabrena berkata, kebanyakan ekspatriat di Makkah mempunyai pemastautin Arab Saudi, namun terdapat juga rakyat Malaysia yang masih menggunakan visa perniagaan dan perlu memperbaharui setiap enam bulan.

“Sebelum ini, kos memperbaharui visa untuk keluarga saya dalam lingkungan RM1,200 saja namun pada masa depan, kos itu meningkat naik berkali ganda.

“Langkah kerajaan Arab Saudi menaikkan visa ini sebenarnya membebankan golongan seperti kami. Kadar kenaikan juga tinggi dan kami perlu menanggung kos besar.

“Kos ini juga sangat terbeban buat syarikat luar yang berada di Makkah. Jika pekerja, mereka akan tanggung kos itu, namun bagi yang membawa keluarga, kos itu ditanggung sendiri,” katanya kepada Harian Metro menerusi aplikasi WhatsApp, di sini, semalam.

Beliau berkata, jumlah kenaikan visa itu juga turut membabitkan bagi jemaah umrah serta haji yang melakukan ibadah berkenaan untuk kali kedua memandangkan kerajaan Arab Saudi memberikan pelepasan bagi jemaah yang pertama kali melakukan ibadah itu.

Notis kadar baharu visa itu viral di laman sosial membabitkan semua jenis pas pelancong termasuk mengerjakan ibadah haji serta umrah buat jemaah kali kedua.

Dalam notis itu, kadar baharu visa haji dan umrah naik kepada RM2,200 (Saudi Riyal (SR2,000) bagi jemaah yang kali kedua mengerjakan ibadah berkenaan sekali gus mencetuskan kebimbangan berhubung kenaikan kadar kos yang terpaksa ditanggung jemaah kelak.

Untuk visa pelawat selain tujuan umrah dan haji, kadar baharu untuk tempoh enam bulan naik kepada RM3,300 (SR3,000), visa setahun RM5,500 (SR5,000) dan visa dua tahun kepada RM8,800 (SR8,000).

Notis pengumuman itu dikeluarkan Kedutaan Arab Saudi di Singapura yang bertarikh 20 September turut menyenaraikan kenaikan visa untuk pelancong biasa yang melawat negara itu dengan caj sebanyak RM220 (SR200).

Sementara itu, jurucakap Persatuan Agensi-Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputera Malaysia (BUMITRA) berkata, pihaknya masih belum mendapat gambaran jelas berhubung kadar visa baharu itu.

“Setakat ini, kita tidak mahu komen lanjut lagi. Kita (BUMITRA) akan mendapatkan gambaran jelas berhubung isu ini dalam masa terdekat termasuk mengadakan pertemuan dengan wakil kerajaan Arab Saudi di Jeddah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2016 @ 9:16 AM