NADZRI
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Kalidevi Mogan Kumarappa
Kalidevi@hmetro.com.my


Alor Setar: Akses kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kepada sistem maklumat dan pendaftaran jabatan itu akan diperketatkan serta dihadkan berdasarkan skop tugas masing -masing.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Nadzri Siron berkata, tindakan itu susulan penahanan seorang pembantu tadbir di bahagian pendaftaran kenderaan JPJ Kedah berusia 31 tahun oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selasa lalu bagi membantu siasatan berkaitan kenderaan seludup.

Beliau berkata, setiap kakitangan yang bekerja di kaunter JPJ mempunyai akses kepada sistem dalaman JPJ berdasarkan kata kunci masing-masing.

“Apabila ada yang menyalahguna akses berkenaan, kami perlu menilai semula prosedur operasi standard (SOP) berkenaan.

“Sebagai langkah awal, kami akan mengehadkan akses berkenaan. Sebagai contoh, jika seseorang itu bekerja di bahagian pendaftaran kenderaan, dia hanya diberi akses berdasarkan skop tugasnya saja dan akses ke bahagian lain akan dihadkan,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Menurutnya, pihaknya juga akan mengambil tindakan ke atas mana-mana kakitangan yang berkongsi kata laluan dengan rakan setugas lain.

“Selain itu, kami juga akan memantau jawatan yang kritikal bagi mengelakkan salah guna kuasa,” katanya.

Sementara itu, mengulas lanjut berhubung jawatankuasa khas yang bakal ditubuhkan SPRM, Nadzri berkata, pihaknya mengalu-alukan langkah itu.

“Pihak JPJ sedia bekerjasama dengan mana-mana agensi kerajaan dalam usaha memperbaiki SOP sedia ada, ” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2016 @ 9:26 AM