ANGGOTA KPDNKK melakukan serbuan di sebuah rumah.
myMetro

Kajang: Kegiatan seorang lelaki mencetak cakera padat digital (DVD) cetak rompak di rumahnya dengan anggapan dapat mengelak pihak berkuasa meleset apabila dia ditahan dalam serbuan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor di Taman Cheras Jaya, di sini, tengah hari semalam.

Dalam serbuan jam 12 tengah hari, lelaki berusia lingkungan 40 tahun itu ditahan selepas menjadikan sebuah bilik di tingkat satu rumahnya untuk menyalin DVD drama atau filem secara haram menggunakan 10 mesin.

Penolong Pengarah Kanan KPDNKK Selangor Yusof Bakar berkata, serbuan dilakukan selepas mendapat aduan daripada pemilik hak cipta.

“Seramai 12 anggota dan pegawai KPDNKK Selangor membuat serbuan selepas melakukan risikan selama dua minggu. Pemeriksaan menemui sebuah bilik dipenuhi DVD cetak rompak,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan, lelaki itu menjalankan kegiatannya sejak enam bulan lalu dan menerima tempahan 200 unit DVD setiap hari.

“Lelaki ini menerima tempahan daripada peniaga pasar malam atau kedai DVD haram di sekitar Lembah Klang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2016 @ 9:40 AM