RAKAMAN CCTV kejadian cubaan curi kereta.
myMetro

Gombak: “Penjenayah yang mahu mencuri kereta Proton Perdana milik saya itu bertindak membaling telefon pintar tepat ke arah muka saya. Akibatnya saya cedera dan terjatuh,” kata mangsa, Che Mohammad Awang, 56.

Dalam kejadian jam 9.25 malam kelmarin, seorang lelaki didakwa cuba melarikan kereta mangsa yang diletakkan di kawasan parkir Blok B, Pangsapuri Kampung Laksamana Jaya di sini.

Bagaimanapun lelaki itu tidak sempat melarikan kenderaan itu apabila mangsa yang memandu sebuah kereta lain miliknya pulang ke rumah dan melihat perbuatan penjenayah.

“Saya terkejut apabila mendapati lampu sisi kereta Proton Perdana saya itu menyala.

“Saya berasa hairan bagaimana lampu isyarat itu boleh menyala sebelum bertindak mengundurkan kereta dan masuk ke dalam parkir berhampiran,” katanya.

Namun dia terkejut apabila mendapati seorang lelaki berada di dalam keretanya itu.

Mangsa yang juga pembawa teksi berkata, penjenayah yang gelabah kemudian segera keluar dari dalam keretanya itu.

“Lelaki itu kemudian cuba memukulnya selepas gagal melarikan diri melalui bahagian belakang pangsapuri.

“Bagaimanapun saya berjaya menepis serangannya itu. Akibat ketakutan, lelaki itu membaling telefon pintarnya mengenai muka saya mengakibatkan saya terjatuh,” katanya.

Dia turut menjerit meminta tolong dan cuba mengejar penjenayah dengan dibantu penduduk kawasan perumahan itu.

“Namun lelaki itu berjaya melarikan diri dan meninggalkan motosikal di lokasi kejadian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2016 @ 6:33 AM