LIMA warga asing ditahan kerana memandu lori tanpa lesen sah.
ANTARA pemandu lori yang diperiksa memandu pada waktu puncak.
Kalidevi Mogan Kumarappa


Kuala Lumpur: Degil dan berbahaya. Itu menggambarkan terhadap tindakan lima warga Indonesia yang memandu lori lebih muatan berat di dalam pusat bandar pada waktu puncak tanpa sebarang dokumen pengenalan diri dan lesen memandu.

Lima pemandu berusia 30 hingga 40 tahun itu adalah antara 18 pemandu kenderaan berat yang dikenakan tindakan dalam Ops Penguatkuasaan Laluan Terhad dan Kenderaan Berat semalam.

Dalam operasi diketuai Sarjan Mejar Ruhaizad Abd Latip itu, semua pemandu kenderaan berat termasuk yang membawa muatan tanah dikesan memasuki pusat bandar pada waktu puncak.

Mengulas lanjut, Ketua Jabatan Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain berkata, semua kenderaan berat dilarang memasuki pusat bandar dan jalan tertentu di ibu kota pada waktu puncak iaitu jam 6.30 pagi hingga 9.30 pagi manakala pada waktu petang antara jam 4.30 petang hingga 7.30 malam.

“Meskipun sudah ada papan tanda larangan di kebanyakan jalan berkenaan seperti Jalan Duta, Jalan Mahameru, Jalan Genting Klang, Jalan Cheras, Jalan Ipoh, Jalan Kuching dan Jalan Semarak, namun masih ramai pemandu kenderaan berat ini degil dan ingkar untuk patuh kepada larangan itu.

“Tambahan lagi, pemandu warga asing yang memandu tanpa sebarang dokumen diri dan lesen memandu juga mengambil kesempatan untuk melanggar peraturan ini apabila pemandu lori warga tempatan menjadi contoh buruk kepada mereka,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, akibat aduan orang ramai, pihaknya menjalankan operasi khas pagi semalam dan mengeluarkan saman ke atas 18 pemandu kenderaan berat.

“Kami menahan lima pemandu warga asing yang turut melakukan kesalahan sama selain mengeluarkan saman di atas kesalahan jalan raya yang lain termasuk tiga atas tiada segi tiga keselamatan dan masing - masing satu atas kesalahan nombor plat kabur, tiada lesen memandu dan tiada lesen vokasional,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2016 @ 9:43 AM