OSMAN (kanan) menikahkan seorang peserta pada Program Pernikahan Perdana di Kampung Pasir Linggi.
Ramli Ibrahim
am@hmetro.com.my

Gua Musang: “Alhamdulillah, saya gembira disatukan kembali dengan isteri mengikut hukum Islam sebenar,” kata Mohd Alang Skalwin, 43, penduduk Orang Asli yang bernikah semula dalam Program Pernikahan Perdana Orang Asli di Kampung Pasir Linggi, di sini, semalam.

Seramai 20 pasangan Orang Asli menyertai program anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK), termasuk pasangan yang berkahwin mengikut adat Orang Asli.

Pasangan termuda berusia 17 tahun, manakala paling tua berusia 46 tahun dengan mereka dinikahkan jurunikah yang diketuai Pegawai Agama Jajahan Gua Musang, Osman Ibrahim.

Turut hadir, Pegawai Dakwah Kanan MAIK, Ridhwan Abdul Rahman.

Menurut Mohd Alang, dia dan isteri Nor Zilawati Tombing, 42, sudah berkahwin mengikut adat Orang Asli sejak 1990 dan dikurniakan tujuh anak.

“Oleh sebab sudah memeluk Islam, baru-baru ini, guru agama menasihati kami dinikahkan semula mengikut hukum yang lebih sempurna.

“Syukurlah pagi ini (semalam) hajat kami dipenuhi dan direstui anak-anak,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Kamarudin Manggis, 46, yang baru mendirikan rumah tangga memaklumkan sebelum ini pintu hatinya tidak terbuka untuk berkahwin.

Katanya, faktor kewangan mematahkan keinginannya itu selain tidak mahu isteri hidup susah.

Namun, program pernikahan perdana menyatukan impiannya dan pasangan, Halimah Bolek, 44, yang akhirnya bersetuju dinikahkan bersama pasangan Orang Asli lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2016 @ 9:31 AM