DR Abdul Shukor (kiri) menyampaikan sumbangan kepada ahli keluarga Abdullah.
DR Abdul Shukor (kiri) menyampaikan sumbangan kepada ahli keluarga Abdullah.
Abnor Hamizan Abd Manap

Jempol: “Saya reda pemergian ayah memandangkan hasratnya menunaikan rukun Islam kelima tercapai selepas lima tahun menunggu giliran ke Makkah.

“Malah, impian arwah ayah melihat saya mendirikan rumah tangga juga terlaksana hingga membolehkan dia (arwah) ke Makkah bersama ibu,” kata Mohamad Saiful, 26, anak bongsu Allahyarham Abdullah Kanchil, 56, jemaah haji yang meninggal di Mudzalifah, 12 September lalu.

Mohamad Saiful berkata, sebelum arwah berangkat ke Tanah Suci 6 Ogos lalu dia bersama adik-beradik lain sempat menghantarnya ke Kompleks Tabung Haji (TH) di Kelana Jaya, Selangor.

Sementara itu, isteri Allahyarham, Noriah Samah, 56, berkata, suaminya meninggal dalam tidur ketika bermalam di Mina dan sebelum tidur, arwah berpesan supaya menjaga rumah dengan baik.

“Pada 2.15 pagi Isnin (waktu tempatan), saya mengejutkan arwah untuk solat sunat, namun tiada reaksi. Apabila periksa, saya dapati tubuh arwah sudah sejuk. Ketika itu, saya merasai denyutan nadinya tiada,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan TH yang diketuai Ahli Lembaga Pengarahnya, Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin menerusi Ziarah Waris Jemaah Haji meninggal dunia di Tanah Suci, di FELDA Palong 7, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2016 @ 9:53 AM