tapir yang ditemui kesakitan di RKT KESEDAR Jeram Tekoh, Gua Musang.
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Penduduk Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Jeram Tekoh, di sini menemui tapir jantan dewasa yang cedera dan lemah.

Penduduk menemuinya di belakang rumah seorang penduduk dekat kawasan RKT itu, petang Isnin lalu sebelum diberi rawatan segera dan dilepaskan ke hutan, semalam.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan, Mohammad Khairi Ahmad berkata, berdasarkan kecederaan dialami haiwan itu, pihaknya tidak menolak ia disebabkan dibaham haiwan liar lain.

“Kami yang menerima maklumat penduduk kampung segera ke penempatan terbabit untuk menyelamatkan tapir itu dan ia diberi rawatan segera.

“Sebaik kita beri rawatan, kecederaannya semakin pulih sebelum dilepaskan semula ke hutan di Taman Negara Sungai Relau, Merapoh, Pahang pagi ini (semalam).

“Kawasan Taman Negara itu habitat semula jadi haiwan terbabit dan ia dijangka pulih sepenuhnya dalam beberapa hari ini,” katanya.

Beliau memuji sikap penduduk yang segera menghubungi PERHILITAN selepas menemui hidupan liar yang dalam kesakitan dan tidak boleh berjalan.

Katanya, tapir itu dipercayai tersesat ke kawasan penempatan selepas keluar dari Hutan Simpan Limau Kasturi.

Beliau mengakui haiwan itu diancam kepupusan dan bukan jenis agresif serta mengganggu penduduk.

“Kita menasihati penduduk jangan bertindak kasar apabila menemui tapir tersesat di kawasan kampung mereka dan laporkan segera kepada Jabatan Perhilitan berhampiran,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2016 @ 10:12 AM