AHMAD Zahid menyampaikan hadiah kepada Mohamad Farhan pada penutupan ASC, semalam.
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


Putrajaya: Bukan hanya melepasi sasaran pingat ditetapkan, kontinjen Malaysia bagi Pertandingan Kemahiran ASEAN (ASC) 2016 turut dinobatkan juara keseluruhan bagi edisi ke-11 penganjuran itu dengan memenangi 24 pingat emas, empat perak dan lima gangsa.

Lebih manis pasukan negara turut meraih enam Pingat Kecemerlangan menerusi 25 kategori kemahiran yang dipertandingkan bermula 23 hingga semalam bertempat di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia, Serdang.

Majlis penutupan disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini, semalam.

Edisi penganjuran yang menghimpunkan 266 belia berusia 22 tahun ke bawah dari seluruh negara ASEAN itu menutup tirainya semalam dengan 25 kategori dipertandingkan termasuk teknologi fesyen, dandanan rambut, terapi kecantikan dan masakan.

Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata, sebarang usaha dan tumpuan terhadap pembangunan modal insan termasuk bidang kemahiran penting bagi memastikan kejayaan sesebuah negara.

Menurutnya, setiap negara perlu melabur kepada sistem yang membina kemahiran tenaga kerja dalam usaha bersaing dengan kepesatan perubahan teknologi dan perubahan dalam rantaian nilai global.

“Mempunyai tenaga kerja yang mahir juga membawa kepada pasaran buruh yang cekap dan berkesan, sekali gus membantu meningkatkan keyakinan pelabur untuk memilih negara sebagai destinasi pelaburan mereka.

“Bagi jangka masa panjang, keupayaan dan kecekapan buruh ini menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, sekali gus membantu meningkatkan kualiti hidup rakyat di ASEAN,” katanya.

Katanya, beliau turut melihat Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dijangka dapat menyelesaikan pelbagai tuntutan ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Ahmad Zahid berkata, pendidikan itu membantu rakyat membangunkan kemahiran yang diperlukan untuk pekerjaan, pemilihan kerjaya sesuai dan keusahawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2016 @ 10:14 AM