Khalid diiringi penguat kuasa SPRM di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, semalam.
Mohd Hilmie Hussin


Melaka: Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, semalam, atas tuduhan menerima barang berharga tanpa balasan, menerima rasuah dan pengubahan wang haram sejak Mac 2014 hingga Ogos lalu.

Tertuduh, Datuk Khalid Omar, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Tertuduh sebagai penjawat awam berdepan lapan tuduhan menerima untuk diri sendiri suatu benda berharga tanpa balasan daripada Syarikat Eureka Great Builder Sdn Bhd, Dahlia Abdul Ghani, Syarikat Pembinaan Al-Joffrie Sdn Bhd dan Syarikat Zakaria Bin Mohd Sdn Bhd yang keseluruhannya bernilai RM100,000. Kesalahan itu dilakukan tertuduh di Pejabat JKR Melaka, Jalan Taming Sari, di sini, menerusi beberapa transaksi dari Mac 2014 hingga Julai 2016.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Bagi lima tuduhan rasuah pula, tertuduh didakwa menerima keseluruhan RM96,200 di lokasi sama menerusi lima transaksi daripada Mustapah Maarop, Shaari Ibrahim, Hasbullah Salleh dan Mohd Firdaus Md Nor sebagai upah memilih syarikat terbabit untuk kerja menurap jalan pada Oktober 2015 hingga Ogos 2016.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana nilai yang lebih tinggi.

Pengarah JKR yang kini berkhidmat di JKR Alor Gajah itu juga berdepan tiga tuduhan penggubahan wang haram.

Tertuduh didakwa membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram dengan memiliki RM206,396.16 dalam akaun Amanah Saham Bumiputra 2, di Amanah Saham Nasional Berhad, Kompleks Perniagaan Al-Azim, Bukit Baru, di sini, pada 30 Jun 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2016 @ 6:32 AM