Jenazah Nur Khuzaizi dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Sultan Abdullah.
Ravale Savarinathan


Teluk Intan: Seorang pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hilir Perak yang sepatutnya bersara semalam dan dijadualkan dirai dalam majlis persaraannya, hari ini, meninggal dunia selepas terjatuh dan tidak sedarkan diri atas jalan ketika sedang berjalan di hadapan sebuah pasar raya di Seri Iskandar, dekat sini.

Nur Khuzaizi Md Yusuff, 58, yang berkhidmat sebagai Penyelia Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) PPD Hilir Perak bersara secara pilihan dan disahkan meninggal dunia jam 12.30 tengah hari akibat serangan jantung, semalam.

Mangsa dikatakan ke Seri Iskandar sebelum terjatuh dan tidak sedarkan diri atas jalan ketika berjalan di hadapan sebuah pasar raya, kelmarin.

Sumber PPD Hilir Perak berkata, arwah Nur Khuzaizi dikejarkan ke Hospital Changkat Melintang oleh orang ramai sebelum dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dan dipindahkan ke Hospital Manjung untuk rawatan susulan.

“Arwah meninggalkan seorang isteri dan dua anak masing-masing seorang lelaki dan perempuan. Beliau menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga di Hospital Manjung, semalam.

“Sepanjang perkhidmatannya selama lebih 35 tahun, arwah memegang pelbagai jawatan termasuk guru besar dan penyelia dengan memulakan kerjaya di Sekolah Menengah Kebangsaan Simanggang, Seri Aman, Sarawak sebagai Penolong Perkhidmatan Pendidikan.

“Arwah berkhidmat sebagai Penyelia Kanan HEM di PPD Hilir Perak dari 24 November 2003,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Oktober 2016 @ 8:05 AM