TENAGA pengajar bersama penuntut di Madrasah Tahfiz Al-Yamani Gunung Pasir, Kuala Pilah.
Khairul Najib Asarulah Khan


Kuala Pilah: “Arwah sempat mengingatkan kami supaya menghidupkan sunah Rasulullah SAW. Setiap anak murid perlu melengkapkan diri dengan penggunaan kayu sugi, tasbih, minyak attar, berjubah dan berserban.

“Kami akan ingat pesanan itu dan selalu merinduinya,” kata Wan Mohd Saifuddin Salim, 34, anak murid Allahyarham Syed Mohd Fadzli Syed Ahmad Al-Yamani yang meninggal dunia sebaik tiba di Guangzhou dari Lanzhou, China, jam 12.30 tengah malam Rabu lalu.

Wan Mohd Saifuddin berkata, dia mempelajari ilmu agama selama tujuh tahun bersama arwah di Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 2000.

Katanya, pada 2007, dia melanjutkan pengajian agama di Yaman sehingga 2010 sebelum pulang semula ke negara ini.

“Sebaik tiba, saya berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Sekolah Menengah Agama (SMA) (Arab) Ilmi, Ampang, Selangor, Darul Quran Wal Hadith As Sofa, Ampang dan SMA Ar Raudhah An Nabawiyyah, Janda Baik, Pahang.

“Arwah mahukan saya berkhidmat sebagai pengetua di madrasah ini dan saya memutuskan menyebarkan dakwah bersamanya sejak Oktober tahun lalu,” katanya ditemui di Madrasah Tahfiz Al-Yamani, Gunung Pasir, semalam.

Berkongsi pengalaman bersama Allahyarham katanya, arwah berulang kali mengingatkan muridnya supaya sentiasa menghidupkan sunah nabi.

“Dengan cara itu arwah beritahu, ia memudahkan seseorang mendalami Islam dan mempraktikkan ilmu yang dituntut.

“Bagi kami pengetua madrasah, arwah berpesan jangan membebankan ibu bapa murid dengan menetapkan kadar yuran sebaliknya menggalakkan sumbangan,” katanya.

Menurutnya, Allahyarham seorang yang teliti dan tidak terlalu menekan anak muridnya.

“Setahu saya, arwah membelanjakan RM70,000 sebulan untuk menggerakkan 10 madrasah dinaungi termasuk di Tak Bai, Thailand,” katanya.

Wan Mohd Saifuddin berkata, madrasah kendaliannya kini memiliki 21 murid berusia 10 hingga 22 tahun dan tanah diwakafkan Pakar Mental Malaysia Datuk Dr Abdul Aziz Abdullah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2016 @ 5:17 AM