PENDUDUK Orang Asli berkumpul menghalang lori balak keluar.
Maiamalina Mohamed Amin


Gua Musang: Siasatan kes sekatan Orang Asli bagi menghalang kerja pembalakan di Hutan Simpan Balah, di sini hingga menimbulkan kekecohan Rabu minggu lalu, dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.

Ia susulan tiga individu yang tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, individu terbabit adalah aktivis yang juga peguam Siti Zabedah Kassim dan dua Orang Asli dikenali Mustafa Along serta Halim.

“Mereka tampil memberi keterangan kira-kira jam 5 petang (semalam) yang mana ketiga-tiganya adalah pengadu yang membuat laporan polis susulan insiden kekecohan di lokasi sekatan Rabu minggu lalu.

“Berdasarkan keterangan mereka ini, kami akan memanggil beberapa lagi nama termasuk Orang Asli dikenali Maglo dan Salim yang mendakwa mereka ditangkap polis ketika insiden itu.

“Siasatan juga akan mencari punca isu ini dan kami yakin semuanya akan dirungkai segera memandangkan watak utama sudah tampil memberi keterangan,” katanya ketika ditemui Harian Metro, di pejabatnya, di sini, semalam.

Beliau menafikan pihaknya bertindak kasar ketika insiden itu, sebaliknya, sepasukan pegawai dan anggota sekadar menahan sementara orang tertentu untuk meredakan keadaan.

“Tiada tangkapan pun ketika kejadian, anggota tahan sekejap (tiga Orang Asli yang cetus provokasi) untuk tenangkan keadaan yang semakin ‘panas’.

“Tiada juga tembakan dilepaskan. Namun, laporan mereka yang menyebut perkara itu berlaku dipandang serius dan kami sedang menyiasat semua sudut dakwaan itu,” katanya.

Rajab Ahad turut memberitahu, pihaknya ketika ini hanya melengkapkan siasatan dan memanggil semua individu berkaitan untuk keterangan sebelum diserahkan kepada Pendakwa Raya.

Beliau berkata, tindakan hanya akan diambil mengikut pandangan pakar perundangan dan atas arahan Ketua Polis Negeri Datuk Dr Ab Rahman Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2016 @ 6:25 AM