FAIRSERVIS (kanan) bersama Nana memberikan makanan kepada sebahagian daripada 200 kucing berhampiran Kampung Nelayan Jalan Telok Awak, Teluk Bahang, Pulau Pinang.
PANTAI Kucing menjadi tumpuan baru khususnya pencinta kucing.
Syed Ismail Syed Abu Bakar


Teluk Bahang: Merawat kucing yang cedera dan memberikan penjagaan rapi. Itu khidmat disediakan di kawasan tumpuan khususnya kepada pencinta kucing apabila lebih 200 kucing dipelihara di kawasan pantai berhampiran kampung nelayan Jalan Telok Awak di sini, hingga digelar Pantai Kucing.

Ia diilhamkan seorang pencinta kucing dari Amerika Syarikat, Teviot Fairservis, 55, bersama rakannya, Nana Abdullah, 57, untuk membela nasib haiwan yang terbiar di pantai berkenaan.

Fairservis berkata, walaupun menghadapi pelbagai kesukaran pada peringkat permulaan untuk merealisasikan impian itu, namun ia akhirnya menjadi kenyataan apabila mendapat bantuan dan kerjasama penduduk setempat serta pencinta kucing dari seluruh dunia.

“Saya memulakan usaha memelihara kucing terbiar yang kebanyakannya dibawa orang ramai dengan penuh kasih sayang selain memberikan layanan terbaik bagi memulihkan kesihatan haiwan itu.

“Saya berterima kasih kepada rakan pencinta kucing dari seluruh dunia khususnya Amerika Syarikat, Jerman dan Perancis yang membantu menyalurkan dana serta keperluan lain bagi membolehkan kami menyediakan perkhidmatan terbaik di sini,” katanya yang membuka perkhidmatan berkenaan sejak 2011.

Bekas penulis bebas itu kini memegang jawatan sebagai Setiausaha Persatuan Pencinta Kucing Antarabangsa Pulau Pinang bagi memastikan usaha memelihara haiwan itu terus diperhebatkan.

Menurutnya, kucing terbiar dan cedera termasuk disimbah air panas dan dilanggar kenderaan dibawa orang ramai bagi membolehkan haiwan itu diberikan rawatan dan penjagaan rapi.

“Saya sedih melihat keadaan kucing yang diperlakukan dengan kejam oleh sesetengah pihak tidak berperikemanusiaan, namun kita akan berusaha memeliharanya dengan layanan terbaik.

“Kucing dipelihara di kawasan perkampungan nelayan berhampiran pantai ini begitu mesra dan manja, sekali gus menjadi tumpuan pengunjung dari dalam dan luar negara, malah ada yang meminta untuk memelihara haiwan itu,” katanya.

Pantai Kucing kini menjadi tumpuan ramai khususnya pelancong dari luar negara khususnya England, Amerika Syarikat serta Poland dan menjadi sukarelawan bagi membantu menyediakan keperluan haiwan di kawasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2016 @ 7:49 AM