SEGHAR dijatuhi hukuman denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah atas tuduhan menampar wanita warga emas dijaganya.
Nur Saliawati Salberi

Melaka: Seorang lelaki yang juga pemilik rumah jagaan orang tua didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam selepas mengaku bersalah atas tuduhan menampar wanita warga emas dijaganya selain tidak mendaftarkan pusat jagaan itu secara sah.

Tertuduh M Seghar, 56, membuat pengakuan berkenaan selepas faham atas kedua-dua pertuduhan terhadapnya yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Analia Kamaruddin.

Mengikut pertuduhan, Seghar didakwa tidak mendaftarkan pusat jagaan di Jalan Klebang Besar dengan cara yang sah sekitar 2013.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pusat Jagaan 1993 yang memperuntukan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara dua tahun jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap seorang warga emas berusia 75 tahun dengan menggunakan tangan di sebuah rumah jagaan orang tua di Jalan Klebang Besar, kira-kira jam 3 petang, 8 Ogos lalu.

Lelaki berkenaan didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Nora Yaacob, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Seghar merayu hukuman terhadapnya diringankan, namun pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal atas perbuatan tertuduh.

Mahkamah kemudian mengarahkan Seghar didenda RM2,000 bagi setiap pertuduhan dan tertuduh kemudian menjelaskan denda berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2016 @ 10:09 AM