Raja Noraina Raja Rahim dan Abnor Hamizam Abd Manap dan Khairul Najib Asarulah Khan

Jelebu: Kehidupan alam rumah tangga buat Mohamad Hakim Mohd Maddin, 28, bersama isteri Nadzirah Mohamad Syukur, 26, cukup bahagia sejak awal perkahwinan sehingga mereka dikurniakan cahaya mata sulung, tahun ini.

Namun, disangkakan panas hingga ke petang, tapi hujan di tengah hari, kehidupan Mohamad Hakim berubah 360 darjah apabila dua insan tersayang termasuk anak tunggalnya Nur Rizqi Aaliya, sembilan bulan, dijemput mengadap Ilahi.

Ini kerana kedua-duanya meninggal dunia selepas kereta dipandu Mohamad Hakim terbabit dalam kemalangan di Kilometer 9, Jalan Seremban-Kuala Klawang, dekat Bukit Tangga di sini, kira-kira jam 4.45 petang, kelmarin.

Kemalangan membabitkan dua buah kereta mengakibatkan Nur Rizqi Aaliya meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Nadzirah pula disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) ketika menerima rawatan pada jam 12.01 tengah malam, semalam.

Menceritakan semula kejadian, Azmi, 36, yang juga abang kepada Mohamad Hakim berkata, dia menerima panggilan daripada seorang rakan memberitahu adik bongsu bersama keluarganya terbabit dalam nahas jalan raya sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

“Ketika itu, Nadzirah masih dalam kereta dan sudah tidak sedarkan diri, manakala bayi perempuannya berada dalam pelukannya. Mohamad Hakim terpaksa mengambil Nur Rizqi Aaliya daripada pelukan ibunya bagi membolehkan pegawai perubatan membuat pemeriksaan, namun disahkan sudah meninggal dunia.

“Nur Rizqi meninggal dunia atas pangkuan ibunya akibat cedera parah di kepala. Selepas Nadzirah dan Nur Rizqi serta beberapa mangsa lain dibawa ke Hospital Jelebu, saya dengan bantuan orang awam membawa adik (Mohamad Hakim) ke hospital kerana dia turut cedera.

“Mohamad Hakim patah tulang rusuk dan luka di paru-paru sebelum dimasukkan ke Hospital Jelebu (HJ), manakala Nadzirah dikejarkan ke HTJ berikutan keadaannya kritikal. Nadzirah bagaimanapun meninggal dunia pada jam 12.01 tengah malam (semalam) ketika menerima rawatan,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Kampung Sungai Buloh, Simpang Durian, di sini, semalam.

Selain Nadzirah dan anak perempuannya Nur Rizqi Aaliya, seorang penumpang Proton Saga FLX Halimah Ludin, 64, turut meninggal dunia pada jam 8.20 malam kelmarin.

Mangsa cedera pula adalah Mohamad Hakim yang memandu Perodua Bezza serta dua penumpang belakang iaitu lelaki warga Indonesia dikenali Sairin serta Amrisal.

Turut cedera pemandu Proton Saga FLX, Mohd Azrulnizam Azhari, 31, isterinya Nurul Sham Sinar Rosdi, 29, anak perempuan mereka Nur Aina Nasuha, 3, manakala Muhammad Aqeef Naufal, lapan bulan tidak cedera.

Azmi berkata, jenazah dua beranak selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Buloh di sini, selepas solat Zuhur, semalam.

Katanya, dia bersimpati dengan nasib menimpa anak bongsu daripada empat beradik itu kerana kehilangan isteri dan anak kesayangan dalam sekelip mata.

“Walaupun adik saya diuji Allah dengan kehilangan dua insan paling disayangi, tetapi dia masih cekal dan tabah. Dia turut merayu untuk keluar wad bagi menatap wajah arwah isteri dan anaknya itu buat kali terakhir,” katanya dalam nada sebak.

Sementara itu, anak perempuan Halimah, Nor Aziatun Azhari, 32, berkata ibunya bersama keluarga adik lelakinya dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Durian Gasing, di sini, selepas membeli barangan untuk berniaga di Seremban.

“Abang saya menghubungi dan memaklumkan kejadian itu pada jam 5 petang (kelmarin). Ketika kejadian, abang memandu van mengekori mereka di belakang. Selepas kejadian, ibu saya masih sedar dan memberitahu dia tidak sakit.

“Namun, ketika dibawa melakukan ujian sinaran-X, tiba-tiba ibu tidak sedarkan diri dan dibawa ke wad kecemasan. Doktor kemudian memberitahu ibu tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Jelebu, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2016 @ 10:29 AM
AHLI keluarga mangsa membawa jenazah Nur Rizqi keluar dari Hospital Jelebu untuk dikebumikan.
AHLI keluarga mangsa membawa jenazah Nur Rizqi keluar dari Hospital Jelebu untuk dikebumikan.
MOHAMAD Hakim  memimpin bacaan doa dan tahlil di samping jenazah  Nur Rizqi  yang terlibat dalam kemalangan.
MOHAMAD Hakim memimpin bacaan doa dan tahlil di samping jenazah Nur Rizqi yang terlibat dalam kemalangan.