Nur Lela Zulkipli

Kuala Lumpur: Orang ramai khususnya graduan yang masih mencari pekerjaan tetap dijemput menghadiri Program Temu Duga Kerjaya Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) Zon Selatan bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor Bahru bermula hari ini pada jam 8.30 pagi hingga 6 petang.

Program dua hari itu yang disertai lebih 100 syarikat bakal memfokuskan kepada graduan dalam usaha membantu golongan berkenaan yang masih belum mendapat pekerjaan terutamanya pemegang ijazah sarjana muda dan ke atas.

Ketua Sekretariat SL1M Norashikin Ismail berkata, bagi graduan yang berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian disifatkan sebagai cukup baik.

“Bagaimanapun, graduan yang gagal mendapat pekerjaan, kita akan bantu menerusi SL1M yang diperkenalkan di bawah Unit Perancang Ekonomi.

“Pada program Temu Duga Kerjaya SL1M Zon Selatan kali ini, kita akan menawarkan 10,000 peluang latihan dan pekerjaan yang terbuka kepada orang ramai,” katanya.

Bukan itu saja, SL1M akan membantu graduan mendapat pekerjaan menerusi latihan secara ‘in-house’ dan latihan ketika bekerja.

“Bagi latihan ‘in-house’ graduan akan diajar cara membuat resume, berkomunikasi dan penampilan ketika menghadiri temu duga.

“Latihan yang diberikan di bawah program SL1M juga menjadikan pelatihnya berkualiti, sekali gus mudah mendapat pekerjaan kecuali mereka yang memilih pekerjaan dan mempunyai masalah sikap,” katanya.

Katanya, menerusi latihan SL1M, graduan kebiasaannya akan mendapat pekerjaan di tempat di mana mereka menjalani latihan.

“Sekiranya tidak mendapat pekerjaan di tempat mereka menjalani latihan, graduan ini akan diterima bekerja di syarikat lain.

“Graduan yang gagal mendapat pekerjaan di tempat mereka menjalani latihan kali pertama akan diberi peluang untuk meneruskan program SL1M sehinggalah mereka mendapat pekerjaan,” katanya.

Katanya, selagi mereka tidak mendapat pekerjaan, selagi itu mereka akan terus mengikuti latihan di bawah program SL1M sehingga mereka berjaya mendapat pekerjaan tetap.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2016 @ 8:55 AM