NOOR Hashim (tengah) menunjukkan wajah suspek dan sebahagian barang rampasan.
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my

Iskandar Puteri: Kegiatan satu rangkaian along membabitkan transaksi pinjaman berjumlah ratusan ribu ringgit dilumpuhkan susulan penahanan empat individu berusia 20-an pada serbuan di dua premis masing-masing di Mount Austin serta Setia Indah di sini, jam 2.30 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Superintendan Noor Hashim Mohamad berkata, serbuan dibuat hasil maklumat dan risikan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri.

“Taktik digunakan rangkaian along terbabit ialah dengan mengiklankan pinjaman RM500 hingga ratusan ribu ringgit kepada individu terdesak melalui iklan digantung pada kain rentang di tepi jalan.

“Bagi memudahkan kegiatan itu, rangkaian along yang beroperasi di seluruh kawasan itu membahagikan kumpulan mereka kepada tiga iaitu pemasang iklan, pemberi pinjaman dan pemungut wang daripada peminjam.

“Along terbabit turut menggunakan elemen kekerasan seperti menyimbah cat, ugutan jenayah, mengunci rumah mangsa dan sebagainya bagi mendapatkan semula pinjaman daripada peminjam,” katanya pada sidang media di IPD Iskandar Puteri, semalam.

Menurut beliau, siasatan mendapati kumpulan terbabit beroperasi sejak enam tahun lalu selain mempunyai rangkaian di seluruh negara.

“Along ini mengenakan kadar bunga antara 30 peratus hingga 70 peratus dan sehingga kini, kira-kira 300 peminjam terjebak meminjam daripada mereka.

“Sindiket ini turut menyimpan kad mesin pengeluaran wang (ATM) serta buku akaun bank peminjam,” katanya.

Noor Hashim berkata, hasil serbuan, pihaknya merampas 850 kain rentang iklan pemberi pinjaman wang, 19 kad ATM milik peminjam, 10 telefon bimbit dan 12 buku butiran peminjam.

“Turut dirampas empat buku akaun bank peminjam, seunit iPad dan dua kereta milik suspek.

“Kami sedang mengesan seorang lelaki yang juga pengurus dalam sindiket ini yang melarikan diri. Suspek mempunyai tiga rekod sabitan lampau berkaitan kes along di Johor dan Melaka,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang (APPW) 1951 kerana menjalankan aktiviti perniagaan pemberi pinjaman wang tanpa lesen.

Sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2016 @ 8:58 AM