MOTOSIKAL dipercayai digunakan ketika lakukan jenayah dirampas.
Norasikin Daineh

Tawau: Dua lelaki termasuk seorang dikenali sebagai Castello ditahan polis kurang dari 24 jam selepas suspek disyaki meragut wang tunai RM50,000 milik peniaga ikan bilis di belakang pasar raya di sini, kelmarin.

Dua lelaki terbabit ditahan di dua lokasi berasingan dalam Op Cantas selepas polis menerima laporan daripada mangsa wanita berusia 43 tahun.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, dalam tangkapan pertama, seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan di kawasan Batu 4, Kampung Kurnia Jaya dekat sini, pada jam 9.30 malam kelmarin.

“Apabila menyedari kehadiran polis, suspek cuba melarikan diri, namun gagal.

“Hasil pemeriksaan pada badan suspek membawa kepada penemuan satu kerambit panjang disimpan di dalam poket belakang seluarnya.

“Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada lelaki itu, kami menahan suspek kedua dikenali sebagai ‘Castelo’ berusia 20 tahun jam 1.45 pagi tadi (semalam) di Batu 15 Kampung Serudong Baru, di sini,” katanya, semalam.

Beliau berkata, pemeriksaan di rumah lelaki berkenaan membawa penemuan motosikal jenis Yamaha LC dan tiga helai baju kemeja disyaki digunakan suspek ketika melakukan jenayah.

“Bagaimanapun, wang tunai RM50,000 masih belum ditemui dan siasatan lanjut dilakukan sekiranya kedua-dua suspek ada pembabitan dalam kes lain,” katanya

Sehubungan itu, Fadil berkata, kedua-dua lelaki berkenaan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Terdahulu, pada kejadian 3.30 petang Isnin lalu, mangsa kerugian RM50,000 selepas diragut dua lelaki menaiki motosikal di lorong Bunga Tanjung, dekat sini.

Difahamkan ketika itu, mangsa berada di dalam kereta menunggu anaknya yang keluar ke kedai di kawasan berkenaan.

Salah seorang suspek dipercayai memecahkan cermin kereta bahagian penumpang sebelum merampas beg tangan yang disimpan di bawah kerusi kereta itu sebelum kedua-duanya melarikan diri dengan motosikal.

Sebelum kejadian, wanita itu baru saja mengeluarkan wang dari bank di Batu 3, Jalan Apas, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2016 @ 10:51 AM