Suraya Roslan


Serdang: “Kerajaan tiada perancangan untuk menambah usia persaraan melebihi 60 tahun, had umur yang ditetapkan kini sudah memadai,” tegas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Menurutnya, jika ditambah dua tahun lagi, satu-satu jawatan dalam kerajaan tidak akan diisi selama tempoh itu merangkumi 50,000 perjawatan.

“Perkara ini menimbulkan kerisauan kepada graduan yang baru tamat pengajian jika kita melanjutkan usia persaraan kepada 62 tahun.

“Kerajaan ketika ini tiada perancangan untuk menambah usia persaraan, kita rasa umur 60 tahun sudah memadai untuk penjawat awam di negara ini,” katanya pada sesi soal jawab pada [email protected] Programme di Universiti Putra Malaysia di sini semalam mengenai sama ada kerajaan bercadang melanjutkan umur persaraan penjawat awam.

Menurutnya, sekiranya usia persaraan dilanjutkan daripada 60 hingga 62 tahun, ia akan menyebabkan tiada orang bersara dalam tempoh dua tahun.

“Jadi, kekosongan jawatan akibat persaraan penjawat awam tidak berlaku untuk dua tahun. Namun, ini bukan tujuan utama kita tidak mahu melanjutkan umur persaraan kepada 62 atau 65 tahun. Saya rasa 60 tahun itu sudah memadai,” katanya.

Katanya, kebanyakan graduan begitu meminati sektor perkhidmatan awam dan kerajaan sentiasa mengalu-alukan setiap permohonan.

“Contohnya jawatan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD), ada 383 jawatan untuk diisi bagaimanapun kita menerima 104,000 permohonan dan kebanyakan mereka adalah graduan baru keluar daripada Institusi Pengajian Tinggi dan sudah bekerja,” katanya.

Sebelum ini, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Azih Muda memberi cadangan supaya usia persaraan dilanjutkan kepada 62 tahun kerana berpandangan ia satu kesesuaian seiring wawasan negara menuju ke arah status negara maju.

Sementara itu, sebanyak 830 projek dilaksanakan setakat Ogos lalu melalui usahasama sektor awam-swasta dikenali [Public Private Partnership (PPP)’ yang menjadi satu pendekatan unik dan sebahagian daripada agenda transformasi negara.

Ali berkata, kerajaan menjimatkan sejumlah RM222.9 bilion, iaitu dalam modal perbelanjaan dan operasi, masing-masing sebanyak RM207.15 bilion dan RM9.25 bilion bagi menyediakan infrastruktur dan kemudahan awam antara kerajaan dan sektor swasta.

“Jumlah hasil keseluruhan daripada penjualan ekuiti dan kerajaan adalah sebanyak RM6.5 bilion,” katanya.

PPP adalah salah satu strategi yang dipromosikan di bawah Model Ekonomi Baru yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2016 @ 6:18 AM