Siraj Mohd Zaini

Klang: Kerja membaiki benteng di perairan Selangor yang rosak akibat fenomena air pasang besar bulan lalu dijangka siap sepenuhnya hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Zaidy Abdul Talib berkata, segala proses baik pulih oleh agensi berkaitan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berjalan lancar.

Menurut beliau, pihaknya turut meninggikan benteng sedia ada sehingga 0.6 meter dengan menggunakan beg pasir sebagai persiapan tambahan.

“Kerajaan negeri memperuntukkan dana RM4.3 juta bagi membaiki benteng yang rosak,” katanya ketika ditemui selepas meninjau kerja meletakkan beg pasir di Kampung Tok Muda di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (APBN) Datuk Rohaizi Mohd Jusoh, Pengarah JPS negeri Hashim Adnan dan Setiausaha Jawatankuasa Bencana Negeri Selangor Kolonel Ahmad Afandi Mohamad.

Pada masa sama, Zaidy berkata, kerajaan negeri menyediakan 21 pam air susulan ramalan kaji cuaca yang menjangkakan musim hujan turut melanda ketika fenomena air pasang berkenaan.

“Pam air itu digunakan bagi mengepam semula limpahan air laut ke laut sekiranya ada penempatan terutama di kawasan rendahyang terjejas,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Afandi berkata, 40 pusat pemindahan banjir akan dibuka di kawasan pesisir pantai yang dijangka terjejas.

“Barangan keperluan asas, makanan kering dan pelbagai kelengkapan termasuk 1,000 tandas mudah alih sudah tersedia untuk dihantar ke pusat pemindahan yang mula dibuka jam 2 petang, Sabtu ini.

“Kerja pembersihan pusat pemindahan sedang dijalankan oleh agensi berkaitan demi keselesaan mangsa banjir,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2016 @ 6:40 AM
PASUKAN Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) bekerjasama sukarelawan membuat kerja penambakkan pasir untuk membuat benteng air.