Mohd Zaini (tengah) bersama pegawainya menunjukkan rangka motosikal curi di IPD Petaling Jaya, semalam.
Norizuan Shamsuddin


Petaling Jaya: Curi motosikal untuk jual komponen sebagai alat ganti terpakai bagi menampung perbelanjaan mendapatkan bekalan dadah. Kegiatan itu dilakukan seorang penganggur yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

Bagaimanapun, kegiatan lelaki berusia 23 tahun terbabit berjaya dihidu polis sebelum ditahan bersama tujuh motosikal dan komponen yang dileraikan.

Suspek terbabit adalah antara enam individu termasuk lima remaja bawah umur yang ditahan selepas disyaki mencuri motosikal di daerah ini dalam beberapa serbuan bermula Selasa hingga Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, menerusi serbuan berkenaan pihaknya menahan dua kumpulan berasingan yang melakukan kegiatan curi motosikal di daerah terbabit.

Katanya, serbuan dilakukan membabitkan dua lokasi iaitu di Taman Medan dan Taman Dato Harun, di sini.

“Menerusi serbuan pertama pihaknya menahan suspek lelaki berusia 23 tahun dan menemui tujuh motosikal bersama komponen disyaki hasil curi.

“Siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai lapan rekod jenayah lampau membabitkan curi motosikal, samun dan dadah.

“Hasil saringan ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan dia dipercayai melakukan curi motosikal untuk menjual komponen kepada individu yang lain sebagai alat ganti terpakai,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, semalam.

Mohd Zani berkata, suspek dipercayai aktif melakukan kegiatan curi motosikal sejak dua bulan lalu bersama seorang lagi rakannya.

“Polis turut mengesan rakan suspek yang berusia 30-an dikenali dengan panggilan ‘Bedul’ bagi siasatan lanjut,” katanya.

Mengulas mengenai lima remaja bawah umur yang turut ditahan terbabit, Mohd Zani berkata, semua suspek berusia 13 hingga 17 tahun dicekup ketika sedang meleraikan motosikal yang di curi di Taman Dato Harun, di sini, jam 5 pagi.

Katanya, siasatan mendapati semua remaja bawah umur terbabit masih bersekolah dan polis turut merampas tiga motosikal hasil curi daripada mereka.

“Hasil penangkapan enam suspek terbabit polis dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 kes curi motosikal di sekitar daerah ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2016 @ 9:53 AM