NAJIB ketika membuat lawatan kerja ke Tasik Chini sambil diiringi Issace (dua dari kanan).
Mohd Fauzi Abdullah dan Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


Pekan: Dalam usaha menjadikan Tasik Chini di sini, sebagai Rizab Biosfera Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pertama di negara ini, kerajaan mewujudkan Kompleks Makmal Air Tawar Tasik Chini untuk menjalankan aktiviti penyelidikan dan pengawasan mutu air tasik berkenaan.

Kompleks makmal yang menjadi sebahagian daripada Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC) dibina Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) bagi memelihara dan memulihara tasik itu daripada sebarang kerosakan ekosistem.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Datuk Seri Jebasinggam Issace John berkata, kompleks makmal itu adalah projek fasa pertama pembangunan fizikal mempunyai tiga bangunan iaitu Makmal Hidrologi dan Klimatologi, Makmal Instrumen dan Mikrobiologi serta Makmal Analisis Air.

“Kompleks makmal ini diserahkan kepada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada Januari 2014,” katanya kepada media, semalam.

Makmal penyelidikan itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang meluangkan masa kira-kira sejam melakukan lawatan kerja di Tasik Chini selain merasmikan kompleks makmal itu.

Najib turut bersama masyarakat Orang Asli, penuntut UKM dan Universiti Malaysia Pahang (UMP) menanam 350 pokok di sekitar PPTC sebagai komitmen ditunjukkan kerajaan bagi membantu mengurangkan paras karbon dioksida di ruang atmosfera.

Lawatan kerja itu disertai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob yang turut melepaskan anak ikan ke dalam Tasik Chini yang menjadi simbolik meningkatkan mutu air di kawasan berkenaan.

Mengulas mengenai PPTC, Jebasinggam berkata, pusat yang terletak di kawasan berkeluasan empat hektar itu diberi tanggungjawab sepenuhnya menjalankan penyelidikan, pengurusan, pemeliharaan dan pemuliharaan serta pembangunan ekopelancongan tapak warisan alam semula jadi negara.

“Ia selaras pelan pelaksanaan strategik untuk Tasik Chini meliputi inisiatif utama hingga 2025,” katanya.

Ditanya berhubung kualiti air di Tasik Chini ketika ini, beliau berkata, ia jauh berbeza berbanding 2008 yang mencatatkan mutunya berada pada kelas tiga.

Menurutnya, hasil usaha dan kajian dilakukan penyelidik mutu air Tasik Chini berjaya ditingkatkan kepada kelas dua yang membolehkan aktiviti rekreasi air dilakukan.

Beliau percaya, dengan usaha dan kajian dijalankan tidak putus-putus oleh pasukan penyelidik, kualiti air mampu ditingkatkan pada kelas satu menjelang 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2016 @ 5:18 AM