KEBAKARAN membabitkan dua buah premis perniagaan di Jalan Batu 8, Sandakan.
KEBAKARAN membabitkan dua buah premis perniagaan di Jalan Batu 8, Sandakan.
Hazsyah Abdul Rahman


Sandakan: Sebuah pasar raya yang turut menempatkan pusat borong barang runcit di Jalan Batu 8, di sini, musnah dalam kebakaran awal pagi semalam, mengakibatkan kerugian lebih RM8 juta.

Bagaimanapun, dalam kejadian jam 6.10 pagi itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Bangunan pasar raya berkenaan bersambung dengan pusat borong barangan runcit di belakang premis berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan Mohd Razali Awang Ahmad berkata, kebakaran membabitkan sebuah pasar raya dan sebuah lagi pusat borong barang runcit di bahagian belakang premis berkenaan.

“Sebaik tiba jam 6.22 pagi, api mula marak yang dipercayai bermula dari bahagian tengah pasar raya berkenaan. Anggota bomba kemudian mengawal kebakaran itu namun api merebak dengan pantas.

“Setengah jam kemudian, pusat borong barangan runcit mula terbakar,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, api berjaya dikawal pada jam 8.40 pagi dan kedua-dua premis berkenaan musnah sepenuhnya.

“Sehingga tengah hari tadi (semalam) seramai 37 anggota masih berusaha memadamkan api termasuk menggunakan jentera ‘turn table ladder’ (TTL) sepanjang 30 meter.

“Nilai anggaran awal jumlah kerugian kebakaran itu dipercayai lebih RM8 juta namun punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Sementara itu, pemilik pasar raya berkenaan yang enggan dikenali, 40-an, berkata, dia mengetahui kejadian itu daripada pengawal keselamatan di situ.

“Saya bergegas ke lokasi kejadian dan melihat pasar raya yang saya usahakan bersama keluarga sejak 14 tahun lalu musnah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2016 @ 5:23 AM